Hampir 20K Iklan Along Diturun Di Pahang Tahun Lalu

KUANTAN – Hampir 20,000 iklan syarikat pemberi pinjaman kewangan tidak berlesen diturunkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen Pahang pada tahun lepas.

Ketuanya, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata iklan itu terdiri daripada 19,270 baner dan 619 poster yang kebanyakkannya ditampal di kawasan tumpuan orang ramai seperti kawasan perumahan.

“Usaha untuk menangani masalah pinjaman tidak berlesen akan terus dipergiatkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya yang melibatkan operasi menangani iklan syarikat seperti ini.

“Polis juga berharap orang awam membuat tindakan bijak dan tidak mudah terpedaya dengan pinjaman seperti ini termasuk yang diiklankan dalam laman sosial tanpa mengetahui kesahihan status syarikat.

“Jika perlu mendapatkan pinjaman, mereka dinasihatkan untuk melakukannya dengan agensi kewangan yang sebenar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata jabatannya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini, juga menurunkan lebih 1,000 iklan syarikat kewangan tidak berdaftar pada operasi selama tiga jam di daerah Kuantan.

Katanya, operasi yang bermula pukul 9.00 pagi itu melibatkan lapan pegawai MPK termasuk dua pegawai manakala pihak polis terdiri daripada tiga pegawai dan enam anggota.

“Operasi melibatkan kawasan sekitar bandar sehingga ke Tanjung Lumpur dan selain kawasan perumahan, tumpuan juga melibatkan kawasan pusat perniagaan komersial,” katanya.

Mohd Wazir menambah jabatannya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan ah long di negeri ini, dan berharap orang ramai juga membantu pihak berkuasa serta tidak terperangkap dalam kegiatan itu. – BERNAMA

Loading...