Halang Dan Maki Polis, Mekanik Didenda RM4,400

SEREMBAN – Seorang mekanik didenda RM4,400 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menghalang tugas dan memaki anggota polis awal bulan ini.

Tertuduh, Lee Kok Yew, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan V Vanita.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret 1, beliau didakwa dengan niat menghalang tugas Inspektor Shamrul Harun Abdul Halim di hadapan Pejabat Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Balai Polis Nilai pada 12 Nov lepas pukul 7 malam.

Lee didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mahyun menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara lapan bulan.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret 2, duda dua anak itu didakwa berkelakuan tidak senonoh iaitu mengeluarkan kata-kata lucah terhadap anggota polis Chandra Puang Soon Ling dan Inspektor Shamrul Harun di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 (Akta 344) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Vanita menjatuhkan hukuman denda RM400 dan jika gagal membayarnya, boleh dipenjara empat bulan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri dan Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Chrysandy Lai dan R Kanapathy. – BERNAMA

Loading...