Hakim Ketuai Inkues Beng Hock Didakwa Rasuah Esok

PETALING JAYA – Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas akan didakwa dengan pertuduhan rasuah esok, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Agensi antirasuah itu berkata, ia turut mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dua individu lain iaitu Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad dan peguam, Noor Amirul Nazreen Anas.

Ketiga-tiganya akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, pagi esok.

Pada Januari 2011, Azmil mengetuai prosiding inkues ke atas kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, di dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Beliau kemudiannya membuat keputusan terbuka dengan berkata, kematian Teoh bukan dibunuh atau membunuh diri.

Mahkamah Rayuan pada Sept 2014 membatalkan keputusan terbuka itu dan memutuskan kematian Teoh akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut mengarahkan siasatan lebih terperinci dijalankan ke atas kematian Teoh. – FMT

Loading...