Hak PAS Jumpa Dengan Sesiapa Juga – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata PAS mempunyai hak untuk berjumpa dengan mana-mana pemimpin, termasuk Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga naib presiden UMNO berkata, tidak timbul isu PAS meninggalkan UMNO untuk berjumpa Mahathir.

“Kalau mereka jumpa Mahathir misalnya, itu adalah keputusan dalam parti. Isu dalaman parti adalah hak mereka.

“Tidak timbul mengapa UMNO tidak terlibat dalam pertemuan itu. Mungkin satu hari UMNO pula buat perjumpaan dengan sesiapa sahaja. Itu keputusan UMNO,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Isnin lalu Mahathir memandang ringan laporan tentang kemungkinan berlakunya kerjasama dengan PAS susulan pertemuannya dengan pemimpin parti itu, dengan berkata, adalah tugasnya berjumpa “semua orang”.

“Ya memang ada gambar saya menyambut Haji Hadi. Saya sambut semua orang, termasuk pemberita yang tidak mesra,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, FMT melaporkan kemungkinan berlakunya susunan baru politik yang boleh mendorong parti Islam itu ke mercu kuasa kerajaan persekutuan berikutan kemerosotan sokongan kepada gabungan pemerintah.

Susunan baru itu, yang dikatakan akan menghimpunkan pihak yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu, dijangka memberi kesan besar ke atas DAP dan Anwar Ibrahim.

FMT juga melaporkan bahawa pertemuan Hadi dengan Mahathir itu diatur.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai pertemuan Hadi dengan Mahathir.

Beliau juga tidak tahu jika pertemuan itu telah diberitahu kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail berkata, ramai yang keliru dengan Muafakat Nasional seperti gabungan parti jadi satu.

“Tidak, kerana muafakat ini adalah kerjasama antara UMNO dengan PAS, seperti yang kita lihat di pilihan raya kecil (PRK).

“Apabila UMNO bertanding, PAS bantu dan juga sebaliknya. Setakat ini kerjasama masih lagi di peringkat itu belum lagi muafakat gabungan untuk wujudkan satu parti macam BN dulu,” katanya.

Ismail berkata, parti-parti dalam Muafakat Nasional ini masih lagi bergerak secara bersendirian dan keputusan dalaman parti serah kepada parti masing-masing.

Inisiatif Muafakat Nasional merupakan platform rasmi kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimeterai pada 14 Sept tahun lepas, sekali gus menamatkan persengketaan puluhan tahun antara 2 parti Melayu terbesar itu. – FMT

Loading...