Hajiji Pengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri Pertama

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jemaah Menteri kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Hajiji tiba pada pukul 10.20 pagi di bilik mesyuarat jemaah menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini bagi memulakan mesyuarat itu. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya serta dua lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Menteri Pertanian dan Perikanan) dan Datuk Joachim Gunsalam (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim turut menghadiri mesyuarat berkenaan. 

Selasa lepas, Hajiji, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam istiadat di Istana Negeri Sabah.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini. – BERNAMA

Loading...