Hafizh Harap Terus Cemerlang

KUALA LUMPUR – Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah terlalu hampir untuk muncul sebagai pelumba rookie terbaik keseluruhan musim ini…

KUALA LUMPUR – Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah terlalu hampir untuk muncul sebagai pelumba rookie terbaik keseluruhan musim ini selepas perlumbaan terakhir pada Grand Prix Valencia semalam.

Dia yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3, seperti dijangka terlepas gelaran itu kepada Franco Morbidelli apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dalam perlumbaan litar basah.

Bagaimanapun, perlumbaan itu terpaksa dijalankan semula selepas hujan lebat pada pertengahan saingan yang menyaksikan beberapa pelumba terjatuh termasuk Morbidelli.

Akhirnya Hafizh terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua terbaik keseluruhan, empat mata di belakang Morbidelli bagi kedudukan rookie keseluruhan.

Berdasarkan kedudukan mata, Hafizh perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat kelima atau lebih baik untuk memintas pelumba Itali itu.

Kesimpulannya, ia tetap satu pencapaian membanggakan buat pelumba berusia 24 tahun kelahiran Ampang itu yang menggunakan jentera Yamaha paling lemah berbanding tiga lagi jentera.

Menyertai Tech3 pada saat akhir untuk menggantikan Jonas Folger pada awal musim, Hafizh tidak dijangka mampu memberikan persembahan terbaik berbanding pelumba baru termasuk juara dunia Moto2 2017, Morbidelli, naib juara Moto 2017, Thomas Luthi (Switzerland) dan Takaaki Nakagami (Jepun).

Dia berjaya menamatkan saingan 10 terbaik ketika di Argentina, Motegi, Sepang dan Valencia, untuk menamatkan keseluruhan di tempat ke-16 dengan mengumpul 46 mata, sedangkan tiada siapa menjangka dia mampu melakukannya pada awal musim.

Hafizh, yang sebelum ini beraksi selama empat musim dalam saingan Moto2, sentiasa mempunyai cita-cita tinggi untuk terus mempertingkatkan prestasinya.

“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada pasukan. Kami tidak jangka mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik berikutan keadaan litar basar di Valencia.

“Pelbagai drama, pelumba jatuh. Perlumbaan terpaksa dihentikan dan ketika itu saya di kedudukan ke-10. Kami percaya mampu memberi tentangan kepada pelumba lain.

“Bagi saya, ini kali pertama saya mampu beraksi hingga tamat saingan di atas litar basah dan banyak perkara saya pelajari. Akhir sekali saya hanya dipisahkan empat mata dengan pelumba rookie terbaik Morbidelli.

“Tahniah saya ucapkan kepadanya. Saya sudah cuba yang terbaik. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penaja, keluarga dan peminat yang datang untuk memberikan sokongan kepada saya.

“Saya sangat gembira dapat beraksi di MotoGP. Minggu depan kami akan memulakan pengembaraan baru dan saya akan sentiasa bekerja keras,” kata Hafizh.

Dia yang muncul pelumba pertama negara menamatkan saingan satu musim dalam perlumbaan MotoGP, akan kekal dalam kelas itu bersama Tech3 tahun depan. – BH Online

Loading...