Hadi Nafi Bayar RM1.4 Juta, Juga Isu Gambar Tular

KUALA TERENGGANU – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown agar kes saman berkaitan dana RM90 juta diselesaikan di luar mahkamah.

Malah, Abdul Hadi turut menepis dakwaan mengenai gambar beliau yang tular dalam media sosial kononnya pertemuan itu ada kaitan dengan bayaran sejumlah wang kepada Clare.

Sebaliknya tegas beliau, pertemuan itu melibatkan bekas Menteri Luar Thailand, Surin Pitsuwan di negara berkenaan dua tahun lalu yang membincangkan isu penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar dan ia tidak ada kena mengena dengan isu RM1.4 juta sebagaimana didakwa.

Mengenai bayaran RM1.4 juta kepada Clare, Abdul Hadi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, malah katanya, bukan sahaja beliau, parti PAS sendiri pun tidak pernah membuat apa-apa bayaran mengenainya kepada Clare.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang seterusnya menyifatkan segala dakwaan tersebut sebagai tidak benar dan palsu semata-mata.

“Saya tak bayar (RM1.4 juta), PAS (juga) tak bayar. Dakwaan (beliau bayar kepada Clare) itu tak betul.

“Tindakan kita ialah menjelaskan kepada masyarakat apa yang sebenar dan perlu disedari PAS parti miskin dan banyak penyumbang, bukan seorang dua, tetapi ramai. Bukan sahaja orang Melayu tetapi orang bukan Islam.

“Ada yang bagi sumbangan pada PAS datang pada saya khususnya masa PRU (Pilihan Raya Umum) dan PAS biayai pusat pengajian. Beribu kelas Pasti, ratusan sekolah kita biayai dan gajikan guru-guru, ini sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas mengimamkan solat sunat Dhuha dan menyampaikan tazkirah kepada kakitangan awam di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr. Alias Razak. – UTUSAN ONLINE

Loading...