Hadi Mesra, Berbesar Hati Bertemu Daim

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat berbesar hati dan gembira kerana dapat bertemu dengan rakan lama yang kini Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin di Wisma Darul Iman, Terengganu, semalam.

Kegembiraan itu dapat dilihat menerusi gambar yang dikongsikan dalam laman Facebook Abdul Hadi semalam.

Abdul Hadi menerusi hantaran dalam laman media sosial itu memberiathu, pelbagai cerita turut dikongsi bersama dalam pertemuan itu.

“Meraikan Tun Daim Zainuddin yang hadir ke Wisma Darul Iman. Banyak kisah dan cerita yang dikongsikan bersama dengan penuh kemesraan. Semoga Tun Daim sentiasa diberikan kesihatan dan dirahmati oleh Allah,” katanya dalam status Facebook hari ini.

Daim berada di Terengganu kerana menyertai program Bicara Darul Iman di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, dekat sini, semalam.

Yang hadir sama pada majlis itu Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan exco kerajaan negeri.

Daim pada majlis semalam mengesahkan jajaran Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Katanya, tiada sebab untuk rakyat negeri ini gusar kerana pelaksanaan projek tersebut diteruskan sebagaimana pelan asal sebelum ini dengan merangkumi stesen penumpang dan kargo serta kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...