Hadi Belum Terima Maklumat Unit Amal PAS Ditahan Polis

PASIR MAS – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau masih belum menerima maklumat lanjut berhubung seorang ahli unit amal parti itu yang ditahan polis atas dakwaan membakar kenderaan milik Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Hadi berkata, beliau bagaimanapun akan menyerahkan isu berkenaan kepada pihak polis untuk disiasat dan dalam masa yang sama meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu siasatan.

“Saya tidak ada maklumat lagi mengenai isu itu. Mungkin selepas ini saya akan membacanya,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Badar Kubro di Masjid Madrasah Nasrullah dekat Pohon Buloh di sini Rabu malam.

Mohd. Asri semalam memohon maaf susulan paparan dua gambar ahli jabatan amal PAS bersama Abdul Hadi yang mengiringi hantaran mengenai kes bakar keretanya pada 22 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian dipadamkan.

Loading...