Had Umur Belia: Kerajaan Ingin Tahu Alasan Johor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan menilai alasan Kerajaan Johor yang mengekalkan had maksima umur belia kepada 40 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penelitian akan dibuat sekiranya benar wujud campur tangan Istana Johor hingga menyebabkan kerajaan negeri itu beberapa kali menukar pendirian mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  yang berharap Istana Johor tidak masuk campur urusan Kerajaan Persekutuan berhubung had umur belia.

“Mesti ada campur tangan, sebab itu dia (Muhyiddin) kata begitu. Kita akan melihat sama ada wujud campur tangan atau tidak.

“Kita akan teliti dan melihat sama ada alasan yang diberi (Kerajaan Johor) diterima atau tidak,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Pada Rabu, Muhyiddin berkata, Istana Johor boleh memberi pandangan berhubung apa jua perkara yang dirasakan perlu, namun kerajaan negeri harus diberi kebebasan untuk membuat keputusan akhir.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, berjumpa dan memberi penjelasan kepada Istana Johor supaya pelaksanaan pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun, dapat diseragamkan di seluruh negara. – Astro AWANI

Loading...