Had Jemaah Ke Masjid Demi Kepentingan Agama

TUMPAT – Tindakan kerajaan mengehadkan jemaah ke masjid bukan bertujuan mengabaikan soal tuntutan agama, sebaliknya menjaga kepentingan agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pada masa sama, pendekatan itu bagi mengelak daripada agama di fitnah.

“Apa kita buat hari ini sesuai dengan norma baharu, kita tidak mengabaikan soal tuntutan agama kerana paling penting, pelbagai kaedah dilaksanakan semoga kita terus bermunajat walaupun tidak dapat ke masjid seperti kebiasaan.

“Bayangkan jika tular jangkitan di masjid apabila kita membenarkan jemaah hadir tanpa prosedur operasi standard (SOP), orang akan menganggap masjid tempat penyebaran virus.

“Jadi, tugas kita adalah menjaga kepentingan agama termasuk menjaga agama daripada difitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Mengulas lanjut, Marzuk berkata, pihaknya juga sentiasa menyemak dari semasa ke semasa jumlah jemaah ke masjid berdasarkan situasi semasa.

“Kita tidak kekal dengan satu SOP sahaja. Jika kes menurun, jumlah jemaah akan meningkat namun sekarang kita terpaksa ketatkan balik memandangkan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai kaedah rawatan Islam dalam usaha merawat pesakit Covid-19, Ahmad Marzuk berkata, soal rawatan sampingan boleh dilaksanakan tetapi mesti gabungkan antara kedua-dua itu.

“Pertamanya, perubatan moden ini sebahagian daripada cara Islam merawat sebenarnya. Jangan kita terkeliru bahawa rawatan Islam meminggirkan rawatan secara saintifik secara moden. 

“Yang kita buat di hospital itu dah ikut cara agama. Cuma yang dimaksudkan barang kali rawatan tambahan seperti doa ruqyah dan sebagainya itu dibolehkan tetapi jangan menafikan rawatan secara saintifik ini.

“Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama yang berdasarkan bukti. Apa yang kita buat di hospital ini adalah berdasarkan bukti, ada vaksin, kita makan ubat, itu berlandaskan bukti,” katanya. – myMetro Online