Guru Tanjung Piai Dipaksa Turun Kempen PH – Ahmad Maslan

PONTIAN – Guru-guru Parlimen Tanjung Piai dan Pontian dipercayai telah diarah pihak tertentu meramaikan program-program anjuran pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ketika ini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengesahkan menerima banyak aduan guru-guru di kawasannya menyatakan sekurang-kurangnya tiga guru dari setiap sekolah dipaksa menghadiri program anjuran pemimpin kerajaan PH.

Menurutnya, senario itu membuktikan PH tidak mempunyai penyokong tegar berbanding UMNO, BN dan PAS sehingga terpaksa ‘mengangkut’ penjawat awam untuk berlakon sebagai penyokong parti mereka.

“Mereka tidak ada penyokong tegar…Tidak macam UMNO-PAS mempunyai penyokong tegar.

“Itu yang terpaksa diangkut cikgu-cikgu…Ada arahan cikgu terpaksa diangkut untuk meramaikan majlis dihadiri pemimpin PH termasuk Parlimen Pontian sepanjang PRK.

“Memang ‘confirm’…cikgu mengadu pada saya kerana Pontian berjiran dengan Tanjung Piai.

“Arahan diberikan sekurang-kurangnya tiga orang hadir program (dihadiri pemimpin PH) kerana mereka tidak mempunyai program tegar, tidak seperti UMNO,” katanya kepada media sewaktu menghadiri majlis bacaan tahlil dan Yasin di Kampung Melayu Raya Pekan Nanas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan sebuah rakaman video mengaitkan seorang menteri yang memberi amaran supaya menyokong PH di sebuah sekolah di Parlimen Tanjung Piai dalam satu pertemuan tertutup.

Ahmad berkata, pihaknya berkeyakinan calon MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng mampu menang PRK Parlimen Tanjung Piai sekiranya menguasai sekurang-kurangnya empat peti undi majoriti cina daripada keseluruhan sembilan peti undi majoriti pengundi kaum itu.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN kalah di keseluruhan peti undi Cina, satu peti undi Melayu dan satu peti undi campuran meskipun memenangi 16 peti undi majoriti pengundi Melayu.

“Dahulu pengundi Cina undi PH, tetapi dapat perubahan negatif sehingga prestasi perniagaan jatuh hingga 60 peratus.

“Berdasarkan trend pengundian kaum Cina yang dijangka enggan terkeliru dengan janji PH, BN ada peluang menang PRK jika tambah undi Cina, kekal undi Melayu dan tambah undi 2,400 penyokong Pas pada PRU14 lalu,” katanya. – Sinar Harian

Loading...