Guru Kacukan Arab-Siam ‘Curi’ Perhatian

TUMPUAN… Senyuman tidak lekang di bibir apabila disapa membuatkan seorang guru berdarah kacukan Arab dan Siam disenangi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di Kuantan, Pahang.

Setiap kali disapa, Nor Shahifa Norlan, 26, pastinya melemparkan senyuman dan melayan kerenah murid tahun satu dengan sabar membuatkan dirinya mudah didekati mereka walaupun baru pertama kali bertemunya.

Guru masih bujang dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, sebagai penyelaras tahun satu, dia sedikit sibuk pada hari pertama pendaftaran persekolahan namun tugas digalas dengan baik dan penuh tanggungjawab.

“Sudah tiga tahun saya bertanggungjawab dalam pengurusan murid yang baru memasuki alam persekolahan dan ia sedikit cabar kerana mereka memerlukan perhatian khusus. Namun, saya tetap gembira melayan kerenah mereka.

“Saya cuba yang terbaik untuk uruskan mereka terutama pada hari pertama persekolahan,” kata Nor Shahifa yang lebih mesra disapa Mis Ifa, ketika ditemui pemberita di SK Sungai Isap pada hari pertama persekolahan hari ini.

Mengulas lanjut ujar beliau lagi, cabaran menguruskan murid terutama tahun satu memerlukan kesabaran tinggi selain kemahiran psikologi untuk memastikan mereka terus kekal mengikuti arahan yang diberikan.

“Profesion guru semakin hari semakin mencabar namun kami perlu tempuhi bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan yang berkualiti,” kata Nor Shahifa yang turut mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Beliau memaklumkan seramai 187 murid tahun satu didaftarkan di SK Sungai Isap, hari ini, dengan pecahan 107 murid perempuan dan 80 murid lelaki. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...