Guru Diarah Bela Diri Tuduhan Beri Sokongan Pengganas Daesh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang guru kaunseling sekolah menengah membela diri terhadap tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah ​membuat keputusan itu terhadap Razis Awang, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan yang telah memanggil 11 saksi pada perbicaraan kes itu berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah telah mendengar, membaca dan meneliti keterangan saksi pendakwaan, mahkamah dengan ini mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie dan mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri,” katanya dan menetapkan 31 Okt untuk Razis membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin @ Baharum manakala tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan.

Pada 7 Julai, 2017, Razis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan pengetahuan telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan nama Razis di dalam kumpulan aplikasi telegram ‘gagak hitam’ di Lorong Senangin 2/3 , Taman Senangin , Kulim, Kedah pada 8.11 pagi, 30 Mac, 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya adalah item berkaitan dengan kumpulan pengganas di tempat sama pada 7.20 malam, 28 Sept tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...