Guru Cabul 3 Murid Lelaki Berdepan Penjara 110 Tahun

TELUK INTAN – Seorang guru sekolah rendah bakal berhadapan hukuman penjara 110 tahun selepas dihadapkan ke mahkamah Majistret dan Seksyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan mencabul kehormatan tiga muridnya.

Tertuduh Mohamad Shafie Abdul Rani, 51, dituduh atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual dan mencabul kehormatan tiga murid lelaki di sebuah sekolah di Ayer Hitam sejak tujuh tahun lalu.

Mohamad Shafie menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Seksyen terhadap kesalahan mencabul kehormatan ke atas dua murid berusia 11 tahun di tiga lokasi berbeza.

Bagaimanapun, Mohamad Shafie mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mohamad Shafie dituduh melakukan empat kesalahan tersebut ke atas dua muridnya di sini antara Mei 2018 hingga Januari tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca dengan Seksyen 16(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Mohamad Shafie turut menghadapi tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang murid yang kini berusia 18 tahun.

Namun, Mohamad Shafie mengaku tidak bersalah sebaik dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2012 hingga 2013 melibatkan dua lokasi berbeza di mana dua daripada tiga pertuduhan dilakukan di sekolah tersebut dan Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Sungai Buluh, Hutan Melintang.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Hafizah Muhd Ariff dan tertuduh diwakili peguamnya.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan itu dan kesemua kes disebut semula pada 25 April nanti. – Sinar Harian

Loading...