Guru AS Tuntut Kenaikan Gaji, Dana Pendidikan

AKIBAT rasa tidak puas hati berhubung pembiayaan pendidikan disekat sejak beberapa tahun lalu, seramai 30,000 guru berarak mengadakan tunjuk perasaan di Kentucky dan Oklahoma 2 April lalu.

Menurut laporan akhbar tempatan, kebanyakan guru di Amerika Syarikat (AS) menuntut bayaran gaji lebih tinggi dan peruntukan dana yang besar diberikan pihak berkuasa kepada sekolah-sekolah awam.

Ilham demonstrasi itu dicetuskan daripada golongan guru di West Virginia yang menuntut kenaikan gaji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas mengadakan protes selama sembilan hari pada bulan lalu.

Ramai kalangan peserta tunjuk perasaan memakai pakaian bewarna merah berkumpul di Oklahoma City dengan membawa pelbagai sepanduk yang membawa mesej mengenai isu dana pendidikan awam dan hak pelajar.

“Mesej hari ini adalah mengenai murid-murid kita. Ia mengenai dana pendidikan awam dan mengembalikan semula sokongan seumpama itu yang diperlukan kanak-kanak belajar,” kata Joy Hofmeister yang merupakan Pengetua Sekolah Oklahoma.

Kebanyakan guru telah berikrar meneruskan tunjuk perasaan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Penglibatan guru yang ramai dalam tunjuk perasaan berkenaan telah menyebabkan sebahagian besar daripada kelas terpaksa dibatalkan akibat tidak dapat mencari guru pengganti.

Manakala beberapa sekolah lain ditutup berikutan cuti yang dijadualkan.

Perkara yang sama turut berlaku di Kentucky apabila kesemua 120 sekolah awam ditutup ekoran tunjuk perasaan yang diadakan.

Perhimpunan atas tuntutan ini telahpun bermula hujung Mac lalu apabila guru-guru di Arizona mengadakan tunjuk perasaan yang serupa. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...