Guntur Kamparputra: Dikenali Kerana Ilmu ‘Ghaib’

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

BEKAS komando berbadan kecil ini pernah didakwa memiliki ilmu ghaib gara-gara kebolehannya muncul di pelbagai tempat secara tiba-tiba.

Kebolehannya itu bukan sahaja ditunjukkan di kawasan kem tetapi lebih menonjol di kawasan latihan baik di tengah belantara, atas gunung mahu pun di tengah paya.

Kemunculannya tidak mengira masa. Apatah lagi beliau memang terkenal sebagai seorang jurulatih yang gemar melakukan pemeriksaan mengejut.

Justeru, lelaki yang lebih dikenali dengan nama Amir Guntur atau Guntur Kamparputra ini cukup digeruni oleh para penuntut kursus di bawah kendaliannya. Di tambah pula dengan sikapnya yang garang dan gemar kepada latihan keras serta lasak.

“Memang saya suka membuat pemeriksaan mengejut di mana-mana sahaja lokasi latihan. Tetapi dakwaan saya memiliki ilmu ghaib itu tidak benar sama sekali.

“Sebaliknya, ia adalah kemahiran yang saya peroleh hasil daripada ketekunan mengikuti latihan dan kemahiran itu seharusnya ada pada semua anggota tentera,’’ kata bekas Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Amir Baharudin, 57.

Malah anak kelahiran Kuantan, Pahang ini tidak menafikan dirinya menjadi terkenal di kalangan warga Tentera Darat kerana sikap dan corak latihan yang diperkenalkannya.

Sehinggakan ada yang ragu-ragu untuk menghadiri kursus di bawahnya kerana sedar `keperitan’ yang bakal ditempuh menerusi latihan `Sasaran Ku Langit’ yang sinonim dengan Amir.

Namun, beliau tetap gembira dengan apa yang dilakukannya kerana hasil daripada latihan seumpama itulah ramai pegawai muda yang dididiknya berjaya mendapat kedudukan yang tinggi dalam Tentera Darat sekarang. Mereka ini dikenali sebagai `Gunturian’.

Walaupun ada yang menganggap pendekatan latihannya adakalanya `tidak masuk akal’, Amir berjaya membuktikan segala matlamat yang ditetapkan boleh dicapai. Dan beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai contoh ikutan.

“Bagi saya cakap mesti serupa bikin. Kepimpinan mestilah melalui tauladan. Barulah orang bawah akan hormat dan segan pada kita,’’ katanya yang pernah menggunakan buaya sebagai “rakan latihan’ bagi memastikan penuntut turun menggunakan tali dengan pantas dari bangunan tinggi di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram.

Penuntut Terbaik

Amir bukanlah calang-calang orang apatah lagi beliau memiliki pakej yang hebat sebagai jurulatih.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang latihan pasukan khas atau komando, pemerintahan, operasi ketenteraan, perisikan, diplomatik serta pengurusan sumber manusia dan lojistik.

Bahkan beliau sering menjadi penuntut terbaik dalam kursus-kursus yang disertainya baik di dalam mahu pun luar negara terutama kursus untuk pasukan elit biarpun hanya memiliki ketinggian 160 sentimeter.

Antaranya sebagai penuntut terbaik Kursus Taktik Pegawai Muda (1966), Kursus Muslihat Semua Perkhidmatan (1973), Kursus Pegawai Kanan Tentera Darat (1985) dan kedua terbaik dalam Kursus Tugas Turus (1972).

Selain itu, Amir juga pernah terpilih sebagai pelatih terbaik Kursus Payung Terjun, Pandu Arah Udara (Pandura) dan Renjer di pusat latihan peperangan khas di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat pada tahun 1970 sehingga mendapat pujian khas dari Panglima Tentera Darat ketika itu, Leftenan Jeneral Ungku Nasaruddin Ungku Muhammed.

Beliau turut pernah terpilih sebagai penuntut luar negara terbaik atau ketujuh daripada keseluruhan 107 penuntut ketika mengikuti Kursus Staf dan Komando Angkatan Bersenjata Republik Indonesia di Bandung pada tahun 1976.

Kepintaran Amir mula menyerlah sejak menyertai Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi pada tahun 1962 hingga 1963.

Ekoran itu, beliau telah dihantar melanjutkan pelajaran ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom iaitu akademi tentera terkemuka di dunia pada tahun 1964.

Turut bersama beliau belajar di situ ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Selepas menamatkan pengajian, Amir ditauliahkan di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) di Ipoh pada tahun 1965.

Di pasukan tersebut, satu perkara yang tidak boleh dilupakannya ialah apabila terbabit dalam operasi memburu anggota Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) pada bulan Ogos 1966 iaitu di penghujung era konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Dalam operasi pembersihan di Batu Lintang dekat sempadan Bahagian Kedua Sarawak dengan Kalimantan Barat, platun nombor lima 5 RAMD yang dipimpin oleh Amir berjaya menahan enam anggota TNKU yang menyerah diri selepas dikepung oleh pasukan keselamatan.

Turut dirampas dari mereka ialah enam laras raifal LE dan peluru.

Nama Guntur

Pada bulan Julai 1971, Amir terlibat pula dalam dua pertempuran di Sembawang, Titi Akar, Lundu, Sarawak dengan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS). Dan dari pertempuran itulah beliau mendapat nama julukan Guntur.

“Nama Guntur diberikan oleh orang Iban yang tinggal di sebuah perkampungan kira-kira 500 meter dari tempat kami bertempur.

“Kata mereka suara saya sangat kuat ketika berteriak memberi arahan kepada anggota semasa bertempur dengan musuh sehingga boleh didengar di kampung mereka.

“Jadi mereka beri gelaran itu kepada saya sempena nama pahlawan terbilang Iban,’’ katanya sambil memberitahu Guntur juga bermaksud petir di kalangan penduduk terbabit manakala Kamparputra merujuk dirinya sebagai berketurunan Kampar.

Kata mereka suara saya sangat kuat ketika berteriak memberi arahan kepada anggota semasa bertempur dengan musuh sehingga boleh didengar di kampung mereka. Jadi mereka beri gelaran itu kepada saya sempena nama pahlawan terbilang Iban.

Kebetulan pertempuran itu berlaku pada waktu tengahari ketika hujan renyai.

Waktu itu, Amir, Ketua Kompeni B, 11 RAMD cuba menyelamatkan seorang ketua platun dan dua anggotanya yang tiba-tiba diserang hendap lebih 10 anggota PGRS ketika rakan-rakan yang lain sedang sibuk mengambil bekalan di tepi Jalan Lundu-Semantan.

Terkejut mendengar tembakan musuh, Amir bersama operator radio, Koperal Mohamad dan Koperal Zulkifli terus bergegas ke arah kedudukan tiga anggota terbabit yang hanya beberapa puluh meter dari tempat mereka.

Tiba di situ, beliau terus melepaskan tembakan ke arah kedudukan musuh di tepi lereng sebuah bukit dan berjaya membuatkan mereka berundur.

Namun, dalam pertempuran itu tiada musuh yang berjaya ditumpaskan sebaliknya dua anggota platun yang cuba diselamatkan mereka telah tercedera terkena tembakan.

Geram dengan kejadian itu, pada malam 30 Julai 1971 itu, Amir mengatur serang hendap melibatkan seluruh anggota kompeni yang dipimpinnya.

Beliau yakin musuh yang menyerang mereka tidak dapat bergerak jauh kerana telah terkepung kerana operasi yang disertai mereka kali ini melibatkan satu battalion.

Jangkaannya memang tepat. Selepas menunggu sejak pukul 7 malam, akhirnya pada kira-kira pukul 2 pagi bayangan musuh menjelma.

“Waktu itu saya lihat dua lelaki dipercayai musuh sedang berjalan berhampiran kedudukan markas kompeni.

“Sebaik sahaja mereka melalui kawasan membunuh yang kami tetapkan, saya pun melepaskan tembakan tepat ke arah musuh yang di depan sekali. Ia diikuti oleh tembakan dari empat anggota lain yang bersama saya ketika itu,’’ katanya.

Selepas dua minit tembakan dilepaskan, tubuh kedua-dua lelaki terbabit terbujur kaku. Hasil pemeriksaan, mendapati salah seorang musuh yang mati itu adalah pembekal logistik PGRS di kawasan tersebut.

Sepanjang 37 tahun mengabdikan diri dalam dunia ketenteraan, banyak kejayaan manis yang sempat dicatatkan oleh Amir.

Antaranya menjadi pengasas penubuhan pasukan elit 10 Briged Para seterusnya menjadi panglima yang pertama.

Beliau turut merintis penubuhan 11 RAMD iaitu pada tarikh tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969, penubuhan 23 RAMD (1979), Sekolah Tempur Pegawai Muda di Kota Belud, Sabah (1981) serta menjadi Kolonel Doktrin pertama Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (1992).

Selain itu, Amir merupakan pegawai projek yang memastikan tertubuhnya Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada tahun 1994 serta Kolej Tentera Darat di Kem Ulu Tiram, Johor (2001). – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.