Guna Pengimbas Wajah Rekod Kedatangan Murid

JOHOR BAHRU – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling, di sini menempa sejarah sebagai sekolah pertama di negara ini menggunakan teknologi pengimbas muka bagi merekodkan kedatangan murid.

Lebih menarik apabila kemudahan canggih itu hanya mengambil masa kira-kira dua saat bagi mengimbas wajah murid sebelum maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor murid dan darjah mereka disimpan terus dalam pangkalan data sekolah.

Guru Besar SK Taman Perling, Zamri Abd Wahab, berkata seramai 1,034 murid membabitkan 937 murid aliran perdana, 47 murid Pendidikan Khas dan 50 murid pra-sekolah menggunakan teknologi imbasan wajah untuk mencatat kehadiran mereka bermula hari ini.

Katanya, sebanyak dua unit pengimbas muka diletakkan di dewan untuk merekod kehadiran murid bagi dua sesi persekolahan, manakala sebuah lagi mesin itu ditempatkan di pejabat sekolah untuk mencatat kedatangan 76 guru dan 12 kakitangan sekolah.

“Ini bagi memudahkan guru merekodkan kedatangan murid, malah tidak perlu lagi menggunakan kaedah manual, sekali gus membantu mengurangkan beban kerja guru.

“Ia sudah boleh digunakan tetapi memerlukan sedikit masa bagi mendaftarkan semua maklumat murid termasuk nama penuh, umur dan darjah mereka ke dalam sistem yang akan dilakukan secara berperingkat minggu ini.

“Semua data kehadiran murid akan disimpan dalam sistem berkenaan sebelum disalin dan dipindah ke pangkalan maklumat Kementerian Pendidikan melalui Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM),” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan pertama sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Perling, Datuk Suhaila Ahmad, berkata kemudahan itu disumbangkan secara percuma oleh Myra Hub Foundation untuk sekolah berkenaan bagi kemudahan murid dan guru.

Katanya, SK Taman Perling 1 menjadi sekolah pertama di negara ini yang mencatat kehadiran murid menggunakan teknologi pengimbas muka berbanding teknologi kod QR yang dilaksanakan institusi pengajian tinggi negara dengan meluas.

“Kos pemasangan, perisian dan penyelenggaraan yang berjumlah lebih RM50,000 semuanya dibiayai Myra Hub Foundation menerusi teknologi pengimbas wajah dibangunkan RN Technologies Sdn. Bhd.

“Pada pagi ini, kita mengambil masa 10 saat untuk memasukkan data nombor murid dan mengimbas anak mata murid bagi disimpan di dalam sistem. Selepas semua data murid disimpan, proses mengimbas wajah hanya akan mengambil masa dua saat bagi setiap murid.

“Sistem ini akan mengenal pasti 30 titik sudut mata murid, guru dan kakitangan sekolah dalam proses mengimbas wajah sebelum data kehadiran mereka disimpan,” katanya.

Bagi murid Tahun 6 Bijak SK Taman Perling, R Kivesha, berkata dia bersama rakannya begitu teruja menggunakan teknologi pengimbas wajah berkenaan buat pertama kali.

“Saya selalu hanya lihat di televisyen mengenai teknologi pengimbas wajah ini namun tidak sangka boleh merasai pengalaman itu di sekolah,“ katanya. – BH Online

Loading...