Guna Dadah Jenis THC, Farid Kamil Diperintah Bela Diri

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan itu.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 15 dan 16 Mei ini bagi bicara bela diri terhadap selebriti tersebut dan Farid memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Hero filem Lagenda Budak Setan itu didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Berikutan itu pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran manakala Farid diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.

Sementara itu, ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata dia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati yang terbuka.

“Dengan keputusan ini dapat memberi peluang kepada peguam saya untuk membuat pembelaan dan di situ keadilan akan ditimbang tara dari justifikasi,” katanya.

Semasa prosiding isteri Farid, Datin Dia­na Danielle tidak kelihatan di mahkamah. – K! ONLINE

Loading...