PETALING JAYA – Kira-kira 200 pekerja sebuah gudang dan kilang perabot di Jalan Subang 5, Subang Jaya dekat sini berdepan detik cemas apabila premis tiga tingkat berkenaan terbakar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norhizam Mohd Nudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.26 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

“Pihak majikan melakukan kiraan bagi memastikan semua pekerja telah pun keluar dari premis berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya kebakaran dapat dikawal pada 3.19 petang dan tiada mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan. Jumlah kerugian masih disiasat.

Menurutnya, lapan jentera dan 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Petaling Jaya, Kota Anggerik serta Serdang terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

Sementara itu, seorang pekerja Erna Noor Hasani, 29, berkata dia menyedari kebakaran itu selepas mendengar bunyi bising dan barang terjatuh semasa berada di surau untuk menunaikan solat.

“Saya mula keluar dari surau dan melihat api marak di siling, terasa bahang yang panas daripada asap yang tebal. Keadaan masa itu sangat bising kerana orang ramai panik akibat melihat api dari tingkat dua.

“Kami cepat-cepat keluar dan mengikut arahan yang diberikan untuk berada di tempat yang selamat,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

Loading...