Guan Eng Tetap Pendirian, Bidas Teguran Anwar

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng membidas teguran Anwar dengan menyatakan dirinya bukanlah Perdana Menteri untuk mengarahkan menteri lain mengambil peranannya menyiasat kerajaan BN.

“Saya bukanlah Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Tidaklah kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan seorang menteri yang lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam Kementerian Kewangan yang disandang oleh saya,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Baca: Anwar Tegur Guan Eng Tidak Pandai Beri Kenyataan

Tambahnya lagi, beliau kononya menerima baik teguran daripada Anwar namun Guan Eng ‘keras kepala’ tetap dengan pendiriannya mahu meneruskan tugas menyiasat kerajaan BN seperti yang dilakukan sebelum ini.

Kenyataan-kenyataan kontroversi Guan Eng telah mengakibatkan kesan buruk kepada prestasi ekonomi negara kerana pelabur bertindak atas kenyataan beliau yang memberi gambaran prestasi ekonomi negara.

Pun begitu, Menteri Kewangan itu tidak memaklumkan dalam kenyataan tersebut, bagaimana cara dan tindakan yang akan beliau ambil untuk menarik pelabur-pelabur luar melabur ke Malaysia.

Guan Eng hanya mengatakan beberapa langkah yang telah diambil bagi membaik pulih ekonomi negara, lapor Astro Awani.

“Penangguhan projek-projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan diambil tanpa menjejaskan Defisit Bajet yang terus kekal sebanyak 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya juga telah bertemu dengan pelbagai pelabur serta pengurus dana dari dalam dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu sudah beberapa kali beliau bertemu dengan Anwar untuk memaklumkan tentang keadaan ekonomi serta berbincang hal tersebut.

Malah, Anwar telah difahamkan oleh Guan Eng dan bersetuju dengan candangan serta tindakan Menteri Kewangan itu.

Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Anwar menyarankan beliau menyerahkan tanggungjawab membongkar salah laku dan penyelewengan kepada menteri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana status menteri kewangan lebih sensitif dan kenyataan yang dikeluarkan memberi kesan kepada pelabur dan pasaran, kata Anwar dalam rakaman wawancara program terbitan Astro Awani, ‘AI’. – MYNEWSHUB.CC

Loading...