Guan Eng Mengaku Prakata Komik Propaganda Daripada Pihaknya

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan prakata dalam komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’, adalah daripada pihaknya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu enggan mengulas lanjut berhubung komik propaganda ideologi komunisme dan sosialisme itu, kerana enggan dituduh campur tangan dalam siasatan polis terhadap komik berkenaan.

Guan Eng turut memaklumkan penulis komik itu yang juga bekas aktivis DAP, Dr. Hew Kuan Yau bersama individu yang menerbitkan komik kontroversi berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang tertentu, namun tidak menjelas lanjut mengenainya.

“Kamu tak boleh baca ke? Itu (prakata) semua sudah ada sana (dalam komik), kita tak nafi (menulis prakata).

“Tetapi masih ada peruntukan undang-undang yang akan digunakan penulis. Biar proses ini berjalan sebelum saya beri sebarang komen yang boleh dianggap campur tangan dalam siasatan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada prakata dalam komik itu, yang tertera nama dan jawatannya dalam kerajaan serta parti, adalah daripada pihaknya.

Beberapa pihak khususnya pembangkang, mula mengaitkan komik kontroversi itu dengan DAP selepas mendapati ia turut memiliki prakata daripada Guan Eng.

Pada 23 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik itu yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Pewartaan perintah larangan terbabit dilaksanakan kerana kandungan komik itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta menggemparkan fikiran orang ramai.

Komik yang mempromosi dasar China itu mencetuskan kontroversi apabila disebarkan di beberapa sekolah, sebelum Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan larangan pengedarannya di mana-mana institusi pendidikan negara.

Bagaimanapun, larangan Maszlee itu dibantah 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP. – BH Online

Loading...