Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Polis Belanda Latih Burung...

POLIS di Belanda kini sedang giat melatih burung helang bagi menghalang penggunaan dron/alat...

Mayat Bayi Perempuan Dijumpai...

BUTTERWORTH - Mayat bayi perempuan cukup sifat yang baru dilahirkan ditemukan dalam longgokan...

SOP Raya Di Masjid,...

PUTRAJAYA : Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang...

Basikal Lajak: Ibu Bapa...

PADANG BESAR : Ibu bapa atau penjaga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang...

Guan Eng, Isteri, Phang Didakwa Pengubahan Wang Haram

BUTTERWORTH – Bekas Ketua  Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Guan Eng, 60, Chew, 56, dan  Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Hakim itu membenarkan pasangan suami isteri itu dan Phang, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mahkamah di sini mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Bagan itu dibawa sekali lagi ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan rasuah.

Prosiding dimulakan dengan pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan, dan beliau berkata “tidak bersalah”.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi  Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd  ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot  282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung  mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  (SPRM) yang boleh  dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan  denda  tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Sementara itu Chew dituduh atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram  dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima  wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada  syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014; 3 September 2014 dan 11  Ogos 2015  serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan  Keganasan  2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta  atau penjara  tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib menawarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport Phang dan Chew diserahkan kepada mahkamah.


Peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Phang memaklumkan pertuduhan ke atas anak guamnya adalah bersifat pendakwaan dua kali atau double jeopardy.

Menurutnya pertuduhan ke atas Phang hari ini bukannya pertuduhan kes baharu, sebaliknya kes lama seperti  yang pernah dituduh sebelum ini kerana ia melibatkan fakta sama iaitu cadangan perkampungan pekerja dan lot  tanah sama di Taman Manggis.

Sithambaram berkata di bawah Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak boleh dituduh semula selepas tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Kami akan memfailkan bantahan berhubung perkara ini,” katanya.

Menjawab persoalan Sithambaram, Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor menegaskan fakta pertuduhan terhadap Phang kali ini langsung tidak sama seperti sebelum ini.

Phang sebelum ini didakwa terhadap pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran, bagaimanapun pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Ahmad Akram pula berhujah bahawa dalam kes sebelum ini Phang telah dilepaskan dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan kes mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan mahkamah pada masa itu telah  menggunakan kuasa di bawah seksyen tersebut untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Tetapi apa yang pasti pada ketika itu fakta kes pendakwaan dan merit kes belum didengar sepenuhnya lagi, maka prinsip di bawah Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan itu tidak terpakai,” katanya yang menambah Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan itu terpakai apabila mahkamah telah mendengar kes sepenuhnya dan bagi kes tersebut (banglo) ia didengar separuh jalan.

Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer manakala peguam Lee Khai, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh bertindak bagi pihak Chew.

Antara yang hadir di mahkamah ialah ibu Guan Eng, Neo Yok Tee, bapanya Lim Kit Siang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Prosiding hari ini sama seperti semalam, media dikawal ketat dan hanya empat pemberita dibenarkan masuk ke dalam mahkamah manakala enam yang lain dibenar menunggu di lobi mahkamah.

Semalam Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. – BERNAMA

Kategori