Guan Eng Hadapi Pertuduhan Di Mahkamah KL

PUTRAJAYA – Kenderaan yang dipercayai dinaiki bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira 8.30 pagi tadi untuk membawa beliau ke mahkamah bagi menghadapi pendakwaan berhubung kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Kenderaan Proton SUV X70 yang dinaiki Guan Eng diiringi kereta peronda polis dan motosikal pengiring.

Petugas media berkumpul seawal 7 pagi bagi mengikuti perkembangan kes Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Guan Eng ditahan SPRM kira-kira 9.30 malam semalam selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 pagi ini mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut kenyataan itu, Guan Eng juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua pertuduhan di mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata SPRM.

SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM. – BERNAMA