GST: Pembangkang Keluar Dewan, Berang Guan Eng Tak Disiasat

KUALA LUMPUR – Majoriti ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan speaker tidak merujuk Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas isu pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen pembangkang, khasnya Barisan Nasional berang dengan tindakan Mohamad Ariff Md Yusof memberi alasan tiada unsur prima facie dalam dakwaan Guan Eng terhadap kerajaan terdahulu menyalahgunakan wang bagi tujuan pembayaran balik GST.

Mereka mahu isu itu dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

Selepas meninggalkan dewan, ahli Parlimen pembangkang itu mengadakan sidang media di lobi Parlimen untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan Ariff.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempertikaikan kredibiliti Ariff yang pernah menjadi hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat pada Julai 2018.

“Macam mana dia boleh jadi hakim juga saya tidak tahu.”

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob pula menyifatkan Ariff bersikap dwistandard dengan melepaskan Guan Eng daripada dikenakan tindakan atas dakwaan kerajaan terdahulu “merompak” wang pembayaran balik GST.

Katanya, kenyataan Guan Eng ialah tuduhan jenayah dan Khairy sudah membuat laporan bagi menggesa polis menyiasat dakwaan itu.

“Kita cuba kompromi, iaitu tidak rujuk Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, dengan syarat dia memohon maaf dan menarik balik perkataan rompak yang digunakan, tetapi speaker tidak arahkan dan tetap menolak usul.

“Banyak ‘double standard’ dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Pasir Salak menegur menteri, namun kemudiannya dihalau dan digantung. Ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut dihalau disebabkan keluarkan kenyataan ‘macam pondan’.”

Beliau kecewa dan kesal dengan tindakan speaker mempertahankan Guan Eng walaupun selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapati tiada kehilangan dalam kutipan GST.

“Isu yang kita bawa adalah apabila laporan bayaran balik GST dikeluarkan PAC, Guan Eng terus menggunakan perkataan sama sedangkan tidak ada kehilangan langsung.

“Speaker Dewan Rakyat nampaknya cuba mempertahankan Guan Eng dengan mempertahankan tuduhan Guan Eng yang mengatakan duit GST dirompak.” – FMT