GST Lebih Baik Daripada SST – Najib

PONTIAN – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan mereka terpaksa menjual harta benda bagi menampung kekurangan kewangan negara ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, kini terbukti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih baik daripada (SST).

Katanya, tindakan memansuhkan GST pada September lalu menyebabkan kerajaan kehilangan sebanyak RM24 billion setahun.

Menurut beliau, kebaikan GST turut diakui oleh Persekutuan Pengilang- pengilang Malaysia (FFM) kerana mereka mendapat pengecualian dan input cukai bagi barang yang mereka eksport.

“Tindakan memansuhkan GST juga telah menyebabkan kerugian di mana berlaku ketirisan. 

“GST lebih telus di mana mereka yang berada membayar lebih dan mereka yang kurang berada akan mendapat faedah kerana banyak barang dikecualikan daripada GST,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu ditemui pemberita selepas bersarapan pagi bersama-sama kira- kira 500 masyarakat Tanjung Piai, di Warung Farhan Rimba Terjun di sini pagi ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian UMNO Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan; Timbalan Ketua bahagian itu, UMNO, Md. Israk Abdullah dan Timbalan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Tan Eng Meng.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST jika itu kehendak rakyat.

Selepas bersarapan pagi di Warung Farhan Rimba Terjun, Najib bersarapan di Warung Burasak Abah di Pekan Nanas. – UTUSAN ONLINE