GST: Laporan Portal Malaysian Insight Tidak Tepat

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal dengan laporan portal berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST.

Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, laporan The Malaysian Insight itu tidak tepat.

Ia merujuk kepada laporan bertajuk BN guna bayaran balik GST tampung perbelanjaan, dedah panel baru-baru ini.

Ia mengaitkan wang sebanyak RM19.4 bilion seperti berita yang disiarkan portal berkenaan.

“Laporan media itu jelas tidak tepat malah mengelirukan kerana ia langsung tidak menepati apa yang dibincangkan dan diputuskan PAC secara keseluruhannya selepas bermesyuarat selama 11 bulan.

“Pada masa sama, pendedahan media berkenaan yang memetik Laporan PAC itu juga jelas tidak menghormati kerahsiaan laporan jawatankuasa ini yang masih berstatus rahsia sehingga ia dibentangkan di Dewan Rakyat, Selasa depan, sekali gus menjadi dokumen awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Noraini memohon rakan-rakan media supaya bersabar
menunggu Laporan PAC berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion sebelum membuat sebarang laporan mengenai isu itu.

Selain itu, orang ramai juga boleh membaca laporan ini dengan memuat turun daripada laman web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac pada Selasa ini. – MalaysiaGazette