GPS Tidak Sertai Gabungan Pembangkang Di Semenanjung

KOTA SAMARAHAN – Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyertai mana-mana gabungan parti pembangkang di Semenanjung, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, gabungan itu mahu menjadi gabungan parti yang bebas dan berdiri sendiri di Sarawak.

“Kami bebas, kami adalah GPS, kami bergerak bersendirian,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam berita online baru-baru ini yang menyebut UMNO dan sekutunya boleh menjadi ‘kuasa ketiga’ di negara ini.

Ini menerusi gabungan 40 Ahli Parlimen (MP) dari UMNO, 18 MP dari Pas dan kemungkinan juga 19 MP dari Sarawak dan sembilan MP dari Sabah.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, GPS mempunyai sejumlah 19 MP.

Loading...