GPS Tak Korbankan Hak, Kepentingan Sarawak

DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg memberi jaminan sebarang keputusan yang diambil oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung kemelut politik Persekutuan adalah demi kepentingan negara.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, GPS menetapkan keputusan itu tanpa mengorbankan hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sarawak.

Beliau menegaskan, tumpuan utama ketika ini harus difokuskan kepada usaha untuk memastikan kestabilan politik Malaysia untuk menjamin rakyat terus maju.

“Negara kini menghadapi masalah ekonomi yang meruncing selain berdepan wabak Covid-19 yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh dan segera.

“Kerajaan GPS akan mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kebuntuan ini berdasarkan Artikel 40 (2) (a) dan (b), Perkara 43 (2) (a) dan Perkara 55 (2) dibaca bersama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan kepada media pada Majlis Amanat Integriti di Miri, hari ini.

Abang Johari kembali ke Sarawak pada jam 10 malam tadi selepas dua hari di ibu negara bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kemelut politik yang sedang melanda kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Ahad lalu bagi mempersembahkan secara rasmi sokongan penuh GPS kepada Dr. Mahathir untuk terus memimpin kerajaan Persekutuan. – myMetro Online

Loading...