Google Papar ‘Doodle’ Khas Hargai Biduanita Saloma

KUALA LUMPUR – Google Malaysia hari ini meraikan pelakon, penyanyi dan ikon fesyen legenda Malaysia-Singapura Allahyarham Saloma menerusi paparan doodle enjin carian itu.

Pencetus trend industri hiburan tanah air sekitar 50-an hingga awal 80-an, biduanita Saloma atau nama sebenarnya Puan Sri Salmah Ismail yang bersuara bak buluh perindu, merakamkan lebih 500 buah lagu dan menerusi lakonannya yang berkarisma, beliau membuka laluan untuk generasi pelakon wanita masa depan di negaranya.

Hari ini pada 1978, Saloma melakar sejarah apabila beliau dianugerahi gelaran Biduanita Negara pertama oleh kerajaan Malaysia ketika itu, demikian menurut Google dalam kenyataan.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Saloma yang dilahirkan di Singapura pada 22 Januari 1932, mengasah bakat dalam bidang nyanyian ketika berusia tujuh tahun.

Beliau mula menyanyi secara profesional ketika usianya mencecah remaja dengan kariernya dalam bidang muzik bermula menerusi persembahan di kelab malam dan majlis perkahwinan.

Setelah beralih menceburi bidang lakonan pada pertengahan 50-an, beliau dengan pantas menjadi tokoh selebriti.

Pada 1961, beliau mendirikan rumah tangga dengan rakan artis yang merupakan ikon hiburan serba boleh Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dan pada tahun-tahun berikutnya pasangan legenda itu mengubah dunia hiburan Malaysia menerusi muzik dan filem.

Memiliki gaya rambut tersendiri dan fesyen pakaian yang tidak dapat ditiru (kerana kebanyakannya dijahit sendiri oleh beliau), Saloma membintangi pelbagai filem sepanjang era 60-an dan melahirkan banyak album sepanjang hayatnya.

“Terima kasih Saloma, kerana memanfaatkan bakat seni anda untuk memberi inspirasi kepada wanita di Malaysia dan negara lain agar menjadi diri sendiri,” kata Google. – BERNAMA