Gojek: Penunggang, Pembonceng Mesti Sama Jantina

30

KUALA LUMPUR – Pengenalan perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali sebagai Gojek tidak salah menurut hukum Islam.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, penggunaan Gojek tidak menjadi larangan berdasarkan syarak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan tentang penjagaan batas pergaulan atau penunggang dan pembonceng yang melibatkan lelaki dan perempuan.

“Gojek tidak salah dalam Islam, malah ia harus. Pelaksanaan Gojek tidak menjadi larangan syarak.

“Cuma perlu jaga dari sudut pergaulan antara penunggang dan penumpang. Sebaiknya penunggang dan pembonceng mestilah sama jantina. Kalau penunggang perempuan, pembonceng juga perempuan begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Izhar Ariff turut menyatakan, perkhidmatan Gojek adalah satu langkah positif terutamanya dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.


“Pelaksanaan penunggang dan pembonceng itu yang perlu dikawal,” katanya.

Semalam, Kabinet pada asasnya bersetuju untuk melaksanakan perkhidmatan Gojek.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu membincangkan perkara itu secara terperinci dan memberi lampu hijau untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut. – Sinar Harian