Gobind Pertahan Portal Berita Perlu Tapis Komen

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mempertahankan pendiriannya berhubung pengendali portal berita perlu menapis ruangan komen mereka.

Beliau berkata, langkah itu bukan bertujuan menghalang kebebasan bersuara tetapi menjaga etika dan mengelakkan komen negatif yang boleh memberikan kesan kepada negara seperti yang berlaku ketika ini.

“Kebebasan bersuara bukannya bermaksud komen-komen lucah, kasar atau seksis dibenarkan. Kita juga tidak patut ugut secara fizikal terhadap seseorang di media sosial.

“Komen sedemikian harus dielakkan dan ini dapat dicapai melalui pengawalseliaan dan bantuan dari pengendali portal sendiri. Jadi meminta portal untuk mengawal selia ruangan komen adalah tidak salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind menambah, kerajaan Pakatan Harapan komited terhadap kebebasan media dan bersuara.

Katanya, ini dibuktikan dengan pemansuhan Rang Undang-undang Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat, Ogos lalu walaupun ia akhirnya ditolak di Dewan Negara.

“Semua orang bebas suarakan pandangan mereka mengenai apa juga perkara secara terbuka di media sosial. Ini penting dan kita perlu mengekalkannya.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan intipati perbincangan tidak hilang begitu sahaja di media sosial dan tidak disalahgunakan sehingga melanggar undang-undang menyebabkan pergolakan atau menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Gobind berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama pelbagai pihak, termasuk media untuk membina rangka kerja dan beberapa mekanisme yang sesuai bagi menangani perkara ini.

“Saya berharap dialog akan diteruskan dengan pihak berkepentingan. Saya juga akan mendapatkan pandangan daripada majlis media yang bakal terbentuk dan juga bagaimana untuk menggalakkan penggunaan media sosial yang bertanggungjawab selain menyediakan ruang untuk kebebasan bersuara di negara ini,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dilaporkan mempertimbang keperluan untuk mengambil tindakan ke atas pengendali portal berita yang membiarkan pembacanya meninggalkan komen yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

“Saya terima banyak aduan daripada masyarakat dan mereka mengatakan kelihatan seolah-olah tidak ada sebarang pemantauan oleh pengendali portal tentang apa yang dikeluarkan di bahagian komen portal mereka.

“Saya dalam proses menimbang sama ada perlu atau tidak satu undang-undang digubal untuk aspek itu tetapi ia masih perkara dalam pertimbangan, belum dibawa ke (mesyuarat) Kabinet lagi,” kata Gobind. – FMT

Loading...