Giliran Khalid, Saifuddin Teruk Disindir Najib

SINIS… Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula teruk disindir bekas Perdana Menteri.

Kali ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan masing-masing berkaitan eksploitasi akhbar WilayahKu dan harga produk dijual Kentucky Fried Chicken (KFC) yang semakin naik kebelakangan ini.

Bercakap perihal Khalid, bekas Presiden UMNO itu dalam nada sinis merujuk menteri tersebut mendakwa konon akhbar WilayahKu bukan propaganda Pakatan Harapan (PH) tetapi muka depan memaparkan gambar besar Khalid.

“Tapi muka depan naskhah pertama amat menarik. Wajah hensem (kacak) siapa di sana? Kalau boleh, besarkan lagi gambar itu. Terlalu kecil nanti pembaca tak nampak. Bukan kronisme juga, dia kata.

“Tapi Ketua Pengarang pun Setiausaha Akhbar Menteri sendiri,” sindir Najib menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook beliau sambil turut bertanya wang yang digunakan untuk biayai kos akhbar ini dari sumber mana.

“Dari wang rakyat atau dari pelabur asing RM1.6 trilion? Moga-moga akhbar ini tak akan ada banyak iklan untuk jual BitCoin dan HarapanCoin pada masa hadapan,” tambah Najib lagi secara sinis terhadap Khalid.

Sementara Saifuddin pula disindir kerana sebelum ini pernah berkata kononnya beliau akan siasat pihak KFC mengapa harga produk dijual mereka naik begitu ketara selepas SST ganti GST.

“Dua minggu siasat. Setelah puas siasat, apa keputusannya? Kos pengeluaran sudah meningkat. Sebenarnya, tidak perlu siasat pun sudah tahu. Tanya mana-mana rakyat pun sudah tahu harga barang naik selepas SST ganti GST.

“Selepas dapat jawapan dari KFC, apa langkah menteri ambil? Dia kata tak boleh buat apa-apa. Dia kata KFC bukan di bawah barang kawalan harga walaupun KFC di Malaysia ialah milik penuh kerajaan PH negeri Johor,” ujar Najib.

Mengulas lebih lanjut, menurut Ahli Parlimen Pekan itu, jika KFC milik kerajaan PH pun boleh menerima kesan besar daripada kos pengeluaran yang meningkat akibat SST, bagaimana pula dengan barang-barang lain.

“Sama-sama naik kerana semua sudah Senyap-Senyap Tibai (SST) oleh kerajaan PH dan kita semua Sama Sama Terkena. Sebelum mansuhkan GST, saya berulang-kali beri amaran bahawa SST akan menaikkan harga lebih tinggi.

“Ia naik berbanding GST. PH kata tidak mungkin. Kata kononnya saya tipu, siap memberi jaminan dalam Parlimen bahawa SST akan menurunkan harga barang,” kata Najib lagi. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...