Giliran Haziq Buat Laporan Polis

SHAH ALAM – Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama yang digantung tugas serta-merta, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat laporan polis susulan pengakuan terbukanya berkenaan video seks yang didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kelana Jaya hari ini.

Berdasarkan salinan laporan polis yang dimuat naik di laman Facebooknya petang tadi, Haziq menjelaskan laporan itu dibuat bertujuan untuk menyangkal segala tohmahan netizen, cybertroophers dan beberapa pemimpin lain.

Haziq juga membuat laporan itu selepas dituduh mempunyai agenda politik apabila membuat satu pengakuan semalam.

“Anda boleh menggelar saya apa-apa sahaja yang anda mahu tetapi saya tidak pernah dibesarkan sebagai penipu,” kata Haziq dalam kenyataan bersama dua keping gambar salinan laporan polis di Facebooknya.

Dalam laporan itu, Ketua Angkatan Myda Keadilan (AMK) Santubong tersebut juga melahirkan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan yang dibuat Haziq.

“Saya sahkan laporan polis yang dibuat Haziq,” katanya. – Sinar Harian

Loading...