GHAH Desak PH Mansuh Akta Hasutan

KUALA LUMPUR – Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kecewa peguam yang juga aktivis Pakatan Harapan, Fadiah Nadwa Fikri ditahan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Penyelarasnya, Amir Abd. Hadi berkata, pihak polis seharusnya akur bahawa negara ini sedang menuju ke arah pemansuhan akta hasutan, yang dianggap sudah lapuk dan melanggar hak asasi manusia.

Malah, kata beliau, tindakan itu bertentangan dengan Manifesto Pakatan Harapan dan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta Menteri Dalam Negeri,Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara jelas menunjukkan kerajaan dalam proses memansuhkan undang-undang itu.

“Kedaulatan undang-undang mesti diangkat, yang menjamin bahawa setiap yang berada di negara ini, adalah sama rata tanpa mengira kedudukan dibawah undang-undang.

“Ini juga bermaksud, setiap dari kita berhak menyatakan pendapat seperti yang dijamin dibawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, selagi mana ia tidak menjurus kepada kekerasan dan pertumpahan darah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, kata Amir, GHAH menuntut kerajaan Pakatan Harapan kekal atas janji dan prinsipnya sebelum ini untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, menggugurkan semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dan bebaskan semua tahanan dan tiada akta ganti dengan peruntukan sama.

Fadiah Nadwa baru-baru ini dilaporkan mendakwa sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan didalam institusi demokrasi negara berikutan kewujudan monarki dianggap ketinggalan zaman dikebanyakan negara di dunia.

Beliau mengulas sekeping gambar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkok sambil mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dikala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hubungan tegang dengan institusi diraja. – Mynewshub.tv

Loading...