GGK: “Saya Bukan Patung” – Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan baginda bukan patung berhubung peranannya sebagai Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK).

Dalam titahnya melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda mengakui tindakannya mencampuri urusan perolehan GGK tidak disenangi sesetengah pihak.

“Jika saya tidak campur tangan dalam hal ini, siapa yang akan untung berjuta ringgit.

“Saya sedar, tindakan saya mencampuri urusan perolehan komando ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Kem Iskandar, Mersing hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut hadir mengiringi baginda ke majlis itu.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah, pihak komando tidak seharusnya menerima apa sahaja peralatan yang dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal.

“Saya juga perhatikan ada bekas-bekas jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.

“Sebagai contoh, pembelian bot ‘Rigid Riding Craft’ sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit. Harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik serta menjimatkan kerajaan,” titah baginda.

Tegas baginda, sebagai Kolonel Komandan GGK, baginda akan sentiasa memerhati serta mengambil tahu mengenai Kor Gerak Khas.

Baginda turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando, payung terjun, rumah CQB (tempur jarak dekat) dan kolam renang tempur di Kem Iskandar.

Loading...