Gesa MB Campur Tangan Isu Tanah Changkat Kinding

IPOH – Seramai 50 petani meminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu campur tangan berhubung isu 43 hektar tanah pertanian sayur-sayuran di Changkat Kinding di sini, yang telah dijadikan projek pembangunan kampung terancang oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusi Persatuan Taniternak Jalan Chemor-Changkat Kinding, Wong Ching Siang berkata pembangunan projek perumahan itu menyebabkan setiap petani berkenaan kerugian lebih RM2,000 sebulan sejak Mac lalu.

Beliau berkata para petani berkenaan juga tiada pilihan selain terpaksa menyerahkan tanah pertanian yang diusahakan sejak 1960 itu kepada pemaju selepas didesak oleh beberapa pihak berkepentingan.

“Syarikat pemaju memaklumkan, kami perlu serahkan juga tanah berkenaan walaupun ada yang tidak bersetuju. Kami diberikan pampasan sebanyak RM1,500 bagi satu hektar tanah serta dua tanah gantian bagi setiap peneroka.

“Walaupun tanah gantian ada diberikan kepada kami di Bukit Kampas, Simpang Pulai tetapi tidak sesuai untuk tanaman sayur-sayuran. Tanah itu lebih sesuai untuk tanaman buah-buahan dan kelapa sawit,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum bantahan kepada Menteri Besar dihadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu, Wong menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh yang turut disertai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Mengulas lanjut, Wong berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak juga perlu menyiasat berhubung wujud penyelewengan pampasan tanah di kawasan pertanian yang diusahakan itu sebelum ini.

“Dari segi pampasan, sepatutnya 41 petani sahaja yang berhak menerima pampasan, namun terdapat sembilan lagi nama yang tidak berkaitan dan nama berkenaan kita sudah serahkan ke pejabat SPRM untuk disiasat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Arafat Varisai Muhamad berkata pihaknya telah membuat perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kinta serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sejak dua bulan lalu, bagi mencari penyelesaian tentang perkara itu.

Bagaimanapun katanya, perbincangan tersebut tidak membantu selain pemaju berkenaan telah meneroka 38 hektar lagi tanah pertanian berhampiran kawasan yang telah diratakan untuk projek pembangunan perumahan itu.

Mengulas mengenai memorandum itu, Muhammad Arafat berkata pendekatan itu dilakukan bagi memberi ruang kepada Ahmad Faizal untuk campur tangan dalam menyelesaikan kemelut terbabit. – BERNAMA

Loading...