Gesa Masyarakat Dayak Sertai PBDSB Untuk Kukuhkan Parti

KUCHING – Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) yang diterajui oleh presidennya Cobbold John menyeru semua masyarakat Dayak di Sarawak tanpa mengira latar belakang agama untuk menyertai parti itu.

“Kami ingin menjemput rakan-rakan kami dari suku kaum Dayak, yang mempunyai rekod bersih untuk menyertai PBDSB,” kata Cobbold, sambil menambah bahawa jemputan itu juga dipanjangkan meliputi masyarakat Dayak dalam Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak.

“Namun, mereka harus bersih dan bebas daripada skandal rasuah dan tanah. Kami percaya bahawa kaum Dayak perlu bersatu untuk membawa PBDSB ke mercu yang lebih tinggi, untuk melindungi hak masyarakat pribumi dan Sarawak, “katanya.

Beliau mengulangi bahawa PBDSB bukan miliknya tetapi milik semua masyarakat Dayak Sarawak dan menambah sebagai presiden parti, beliau akan sentiasa memastikan PBDSB Menjadi platform untuk masyarakat Dayak bersatu dan menyuarakan isu dan agenda mengenai Dayak.

Pada Pilihan raya negeri yang lepas m(2016), PDBSB bertanding di beberapa kerusi tetapi tewas di semua kerusi sementara pada pilihan raya umum yang lepas, hanya Cobbold bertanding tetapi tewas walaupun parti itu sebelumnya mengumumkan bahawa ia akan bertanding tidak kurang daripada10 kerusi.

Sementara itu, hari ini Cobbold menjadi presiden parti yang pertama mengumumkan apa yang disebutnya “calon berpotensi” untuk pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 2021.

Beliau menamakan Rapelson Richard Hamit untuk kerusi Simunjan, Nikodemus Singgai (Gedong) dan Nicholas Mujah (Balai Ringin) walaupun Mujah masih ahli PKR.

Rapelson bertanding untuk kerusi Simunjan pada pilihan raya lepas tetapi tewas kepada calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ketika ditanya sama ada Mujah akan menyertai PBDSB, Cobbold berkata: “Walaupun Mujah masih dalam PKR, kami di PBDSB percaya bahawa jika beliau menyertai kami, beliau akan menjadi pemimpin berpotensi bagi kaum Dayak di Balai Ringin dan memperjuangkan isu Dayak untuk Sarawak.” – BERNAMA

Loading...