Gerakan Terima Azmin Dengan Tangan Terbuka

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menerima Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan tangan terbuka jika benar Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berhasrat menyertai parti tersebut.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, parti itu mengucapkan selamat datang kepada Timbalan Presiden PKR itu sekiranya mahu bersama Gerakan.

“Tapi saya tak boleh komen lanjut, mungkin ada perbincangan antara Presiden Gerakan (Datuk Dominic Lau) dengan Azmin. Itu awak kena tanya Presiden saya,” katanya memetik laporan portal berita, Harian Metro semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk G Parameswaran pula berkata, parti itu mampu ‘bangkit semula’ jika benar Mohamed Azmin menyertai parti tersebut.

Satu sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, setakat ini pemimpin PKR yang mewakili Mohamed Azmin masih berbincang dengan pemimpin Gerakan.

Bagaimanapun, Setiausaha Azmin, Hilman Idham sebelum itu menggunakan perkataan ‘mustahil’ merujuk kepada pertanyaan media berhubung desas-desus bosnya meninggalkan PKR.

“Azmin ada dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti, sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat, Angkatan Muda Keadilan dan juga Wanita PKR,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, pada Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menjadi parti bebas.

Ia susulan kekalahan besar BN dalam PRU15 Mei tahun lalu.

Sinar Harian setakat ini masih cuba mendapatkan komen Dominic dan difahamkan beliau dijangka mengadakan satu sidang akhbar di Sungai Petani pagi ini. – Sinar Harian

Loading...