Gerakan Syiah Di Selangor Makin Serius

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan gerakan ajaran Syiah di negeri ini dilihat semakin meluas dan membimbangkan.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, ia berikutan pihaknya mengesan wujud pertambahan pusat kegiatan bagi pengikut ajaran Syiah di sekitar Selangor.

“Dari semasa ke semasa, ajaran Syiah dilihat semakin kuat dan makin bercambah.

“Sekiranya dulu mungkin kita kesan hanya dua atau tiga pusat kegiatan (ajaran Syiah) saja di Selangor, tetapi sekarang ini, ia bertambah mungkin ada 14 ke 15 (pusat) di beberapa tempat seperti Puchong, Gombak dan Klang,” katanya selepas menyampaikan Sijil Peguam Syarie kepada 47 peguam di Shah Alam, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor Datuk Mohamad Adib Husain.

Mengulas lanjut, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah ekoran wujudnya bantuan daripada pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan dan aktiviti sambutan bagi ajaran itu pada hari tertentu.

“… dan penyebaran ajaran Syiah dalam media sosial juga menjadi satu cabaran kepada kita untuk mengekangnya dan yang turut menjadi kesukaran bagi kita adalah sebab pengikut ajaran ini sukar dikesan kerana mereka ini tidak akan mengaku mereka (mengamalkan) ajaran Syiah selain amalan mereka juga tidak banyak berbeza daripada kita yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Justeru katanya, MAIS dan agensi berkaitan di negeri ini akan terus mempergiatkan usaha memantau gerakan ajaran Syiah selain pada masa sama, memberi penerangan mengenai bahaya ajaran itu kepada orang ramai terutama di sekolah dan masjid di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Khusrin menggalakkan umat Islam di negeri ini mengadakan solat hajat dan doa selamat susulan penularan 2019 koronavirus baharu (2019-nCoV) di Malaysia.

“Tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk mengadakan solat hajat tetapi kita galakkan untuk umat Islam melakukan solat itu.

“Beberapa masjid di Selangor juga sudah mula mengadakan solat hajat memohon kepada Allah supaya kita dilindungi dari wabak penyakit itu,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon Allah agar memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

Loading...