Gerakan Sulit Jatuhkan Ketua Polis Negara

JOHOR BAHRU – Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan sekelompok pegawai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkan beliau.

Sebagai Ketua Polis Negara, beliau berkata, gerakan sulit itu akan ditangani dengan sewajarnya, sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM.

“Saya hebahkan perkara ini kerana ia berpotensi menjadi kanser. Saya tidak boleh berdiam diri.

“Niat saya mahu berhentikan perkara ini supaya semua anak buah saya tahu bahawa budaya pasukan kecil ini wujudkan kluster atau koloni dengan cita-cita satu hari nanti menguasai badan tertinggi PDRM ini.

“Dan masa itu, mereka berbuat sesuatu apa sahaja mengikut kehendak mereka … suatu yang jijik dan bahaya.

“Belum sampai (saya) kena buat laporan polis. Saya kena dedahkan. Saya ada bukti. Kalau kita perap nanti (mereka) jadi lebih berani. Saya mahu menyedarkan mereka jangan buat macam ini. Kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abdul Hamid berkata, beliau tidak mempunyai kroni atau orang-orang tertentu dalam pentadbiran.

Katanya, perbuatan kronisme dalam pasukan akan membawa kepada berpecah belah.

“Ini orang Ketua Polis Negara. Ini orang Timbalan Ketua Polis Negara. Ini orang pengarah. Saya tidak mahu wujud perkara dan keadaan seperti itu dalam pasukan. Ia akan menghancurkan dan menyebabkan pasukan berpecah.

“Kartel ini ada selera sendiri. Satu hari naik pangkat ini semua kawan-kawan, boleh memerintah negara ini. Ada penglibatan orang luar yang punyai rekod tidak baik, cuba nak mengeruhkan lagi keadaan dan cuba nak jatuhkan saya.

“Tidak sampai hendak saya membuat laporan polis berhubung isu ini. Saya mahu 130,000 warga polis tahu perbuatan itu tidak baik,” katanya.

Abdul Hamid berkata, PDRM tidak akan membenarkan mana-mana pihak luar dan dalam menyusun perjawatan dalam PDRM mengikut kehendak mereka.

Katanya, Akta Polis 1967 itu perlu dijunjung kerana jika dicabuli, rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Tidak boleh ada elemen gerakan sulit cuba mempengaruhi apa yang berjalan dalam pasukan PDRM. Akibatnya rakyat jadi mangsa. 

“PDRM hak rakyat bukan hak individu. Bukan hak sesiapa. Jangan dijadikan PDRM pasukan peribadi. 

“Perkara ini saya sudah tahu tahun lepas. Saya check (semak) dan pegawai lain juga tahu kewujudannya. Lupakan mimpi kotor dan tidak jujur ini. Saya tidak gentar. Bukan penakut,” katanya. – BH Online