Geng Nicky Tumpas, 118 Individu Ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee pada 20 hingga 28 Mac lalu. 

Antara individu yang ditahan berkenaan adalah dua adik kepada Soon Hee, masing-masing bergelar Datuk Seri serta Datuk berusia 28 dan 30 tahun, selain seorang lagi Datuk Seri bersama lima Datuk lain. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah itu, 42 lelaki membabitkan 27 warga tempatan serta 15 warga China serta enam wanita termasuk tiga warga China ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 

“Dua belas lagi individu membabitkan 11 warga China termasuk seorang wanita serta seorang wanita Myanmar ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/69, manakala lapan lagi lelaki tempatan ditahan kerana didapati positif dadah. 

“Dua puluh lima lelaki dan 25 wanita warga tempatan pula dibebaskan selepas proses dokumentasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini. 

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abdul Hamid berkata, pihaknya merampas wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM773,145 serta 16 kenderaan mewah bernilai RM6.67 juta dalam serbuan berkenaan. 

“Selain itu, kami juga merampas pelbagai barangan lain seperti jam tangan berjenama yang akan dinilai semula oleh pakar bagi mendapatkan nilaian sebenar. 

“Kami juga sudah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.05 juta dan 35 kenderaan bernilai RM8.86 juta membabitkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia serta Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001. 

“Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan,” katanya. 

Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan susulan maklumat risikan yang diperoleh pada pertengahan Januari lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor selepas Operasi Pelican 2.0 membabitkan kegiatan Macau Scam. 

Katanya, hasil siasatan dilakukan mendedahkan kewujudan aktiviti penipuan dalam talian menggunakan ‘akaun keldai’ dan mempunyai transaksi kewangan dengan syarikat milik Winner Dynasty Group. 

“Hasil daripada dapatan itu, pihak task force mengembangkan lagi siasatan dan mendapati terdapat sejumlah ‘keldai akaun’ yang mempunyai kaitan dengan syarikat dan individu bersekutu dengan Syarikat Winner Dynasty Group. 

“Keldai akaun berkenaan dipercayai terbabit dengan aktiviti jenayah komersial seperti along, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian,” katanya. 

Katanya, semakan mendapati terdapat lima syarikat yang bersekutu dengan Winner Dynasty Group berserta pengarahnya dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. 

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis Johor mengesan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersil.

Ayob Khan dipetik berkata, Soon Hee, 33, yang beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Menurutnya, Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan di Puchong, Selangor dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi yang bergelar Datuk Seri.

Selain itu, polis Johor juga mengesan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Md Azar Izwam Mohd Arifin @ Datuk A Janus, 42, kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial berhubung kes sama berkaitan Soon Hee. – myMetro Online