Geng Kongsi Gelap “Ayah Yie Tiger 99” Tumpas

KUALA LUMPUR – Kumpulan kongsi gelap ‘Geng Ayah Yie Tiger 99’ yang disyaki menembak bekas pemandu kepada mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada tahun 2017 tumpas selepas Polis Bukit Aman, menahan 12 anggota kumpulan itu termasuk ketuanya berusia 39 tahun.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga pistol bersama peluru hidup termasuk satu daripadanya yang dipercayai digunakan untuk menembak bekas pemandu kepada Abdul Gani, pada tahun 2017 di Pandan Indah di sini.

Dalam kejadian itu, pemandu berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Mustafa, dilaporkan cedera ditembak dua lelaki di halaman rumah teres 2 tingkat di Taman Putra, Ampang pada jam 8.30 pagi, 29 Ogos 2017.

Kumpulan kongsi gelap itu didalangi seorang penjawat awam yang aktif di sekitar Lembah Klang terutamanya di daerah Klang, juga dipercayai terbabit dengan kejadian menembak seorang lelaki tempatan di Sungai Buloh serta kejadian tembak di hadapan sebuah rumah di Klang.

Geng Ayah Yie Tiger 99 dilaporkan sering terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan dengan niat cuba mendatangkan ketakutan termasuk melakukan cubaan bunuh, ugutan, pemerasan serta mencederakan mana-mana pihak yang bermasalah sama ada dengan ketua atau ahli kumpulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata semua ahli kumpulan terbabit ditahan pada 22 dan 23 Januari lalu dalam operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7); Unit Siasatan Jenayah Terancang (D14) serta Bahagian Operasi Khas (D8) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Geng Ayah Yie Tiger 99 ini turut terbabit dalam kes menyerang seorang lelaki disebabkan perselisihan faham bagi mendapatkan hak mengawal tapak projek pembinaan; menyerang seorang lelaki Melayu di restoran di Klang kerana berselisih faham dengan rakan baik ketua kumpulan itu dan menyerang seorang lelaki lain menggunakan kayu besbol, botol kaca dan getah paip serta beberapa kes lain.

“Kita (polis) juga turut mempunyai pelbagai bukti rakaman keganasan oleh kumpulan itu termasuk melakukan ugutan dan mencederakan ahli kumpulan Tiger Snook (Double Seven) di Klang serta kejadian serangan ke atas seorang pegawai polis berpangkat Inspektor pada 9 September tahun lalu di Pandamaran.

“Kita juga sudah mengenal pasti dan memburu lebih 20 lagi individu ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai berasal dari sekitar Klang dan Pantai Timur, yang turut mempunyai pelbagai rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman penjara, serta turut terbabit dengan dadah,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, semua mereka dijangka akan diberkas dalam masa terdekat berdasarkan maklumat dan risikan yang sedang dijalankan.

Ketua kumpulan itu bersama 11 lagi orang kanan dan pengikutnya kini ditahan di Seskyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Akta Keselamatan Langkah-Langkah 2012 (SOSMA 2012), dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang, esok. – BH Online

Loading...