Geng Gi Mekoh Nga Mutor ‘Tersadai’ Di Dubai

SANGKUT… Proses dapat visa Arab Saudi yang agak sukar menyebabkan kumpulan penunggang Gi Mekoh Nga Mutor ‘tersadai’ di kota raya Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa hari lalu.

Kumpulan motosikal berkuasa besar dari Kelantan itu malahan sudah ‘terdampar’ di bandar terbesar negara tersebut masuk hari ke-60 misi berkenaan sejak bertolak dari tanah air, menurut laporan media tempatan.

Ketua kumpulan berkenaan, Diami Yusoff, 60, berkata, buat masa ini mereka masih lagi menunggu berita daripada pejabat Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia untuk mengetahui kata putus kelulusan visa.

Diami berkata, terdapat dua lagi pilihan sama ada cuba buat pendaftaran visa transit secara atas talian ataupun langkah lebih ekstrem dengan ‘menerbangkan’ pasport ke Malaysia untuk diuruskan Kedutaan Arab Saudi di sana.

“Jarak kami sekarang dengan Makkah hanya kira-kira 2,400 kilometer lagi tetapi kami tidak akan terus perjalanan selagi urusan visa belum lagi selesai, hari ini (semalam) pula cuti umum Tahun Baharu 2019, jadi pejabat tutup.

“Jika ikut jadual yang dirancang kami sepatutnya sudah melepasi Abu Dhabi dan sudah sampai pun ke Riyadh, Arab Saudi tetapi masih tersangkut di sini, sejak tiba di Dubai petang Khamis minggu lalu.

“Kami sibuk dengan urusan dokumen bagi mendapat visa,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Online, dari Kuala Lumpur hari ini.

Diami berkata, dia bersama-sama dengan dua rakannya Mohd Zalani Zulkifli,64 dan Mohamad Fadli Ab Rashid, 40, kini menumpang di bilik seorang rakan di Dubai.

Jelasnya, walaupun visa untuk memasuki Arab Saudi belum diperoleh, namun mereka bersyukur kerana proses kelulusan kuda besi 135 cc yang menjadi sahabat sejati selama dua bulan ini tidak pula berdepan masalah.

“Kelulusan untuk kami membawa masuk motosikal kami melalui pintu sempadan Al-Batha iaitu sempadan antara UAE dan Arab Saudi pula sudah kami dapat semalam lagi,” kata Diami.

Mereka bertiga memulakan misi menunggang motosikal kapcai menuju Makkah untuk menunaikan umrah sejak 3 November lalu dan telah merentasi enam buah negara asing setakat ini. – Agensi/Mynewshub.TV