Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Keputusan Pecat Isham Dibuat...

Keputusan memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil daripada parti itu...

Kes Dadah: Polis Tahan...

BUTTERWORTH - Polis menahan lapan remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan antara...

Rakaman Suara Dakwa Mat...

PETALING JAYA: Satu rakaman suara yang didakwa sebagai taklimat Timbalan Presiden PAS Mohamad...

Suspek Terbabit Kes Pergaduhan...

Kuala Terengganu : Polis mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan...

Gembira, Teruja Pandu Lori Bawa Vaksin Covid-19

SHAH ALAM – Seorang anak peneroka Felda Jengka 15, Pahang antara pemandu lori DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd (DHL) yang bertugas melaksanakan peristiwa bersejarah apabila diberikan tanggungjawab membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNtech Covid-19, Ahad lalu.

Zulkifli Zahadi, 35, berkata, dia yang lima tahun bekerja sebagai pemandu di syarikat logistik, tidak menyangka terpilih untuk melakukan misi nasional mobilisasi vaksin dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lokasi penyimpanan vaksin ditetapkan.

Menurutnya, pada hari bersejarah itu, dia bertindak sebagai pemandu lori manakala Pengurus Keselamatan Kebangsaan DHL, Faeez Rezal menemaninya di kerusi penumpang bersebelahan dalam perjalanan konvoi dikawal ketat diiringi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perasaan gembira dan teruja dirasakan ketika memandu lori itu kerana dipilih menjadi sebahagian (petugas) membawa vaksin. Saya dapat tahu terpilih tugasan ini Isnin minggu lalu menerusi penyelia.

“Sebaik dimaklumkan, saya sudah rasa teruja dan gembira. Sehari sebelum tugasan saya rasa sedikit gementar, tetapi syarikat banyak memberikan latihan termasuk simulasi sebelum hari bersejarah itu.

“Selain itu dorongan dan sokongan daripada penyelia dan rakan lain turut menaikkan semangat saya menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di DHL Glenmarie, di sini, hari ini.

Pemuda masih bujang itu berkata, selama ini dia tidak pernah diiringi pasukan polis ketika memandu lori untuk penghantaran barang dan situasi itu menyebabkan dia berasa seronok.

Menurutnya, perjalanan dari MASKargo KLIA ke lokasi penyimpanan vaksin sangat lancar berikutan kecekapan PDRM mengawal laluan dengan kelajuan purata kira-kira 80 kilometer (km)/sejam.

“Pada hari tugasan Ahad lalu itu, saya keluar dari rumah di Puchong pada 5.45 pagi ke tempat kerja di DHL-Glenmarie sebelum bertolak ke MASKargo KLIA pada 6.40 pagi. 

“Ketika di dalam lori, saya dan Faeez saling ingat mengingati bahawa kami melakukan tugasan membawa barangan berharga negara iaitu vaksin Covid-19. Jadi, kami perlu lakukan tugas dengan terbaik,” katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia bercerita kepada ayahnya Zahadi Ahmad, 76, dan ibunya Hapsah Khadir, 66, mengenai pengalaman tugasan menyeronokkan, tetapi mencabar itu.

Menurutnya, ibu bapanya bangga dengan tugasnya sebagai pemandu lori yang terbabit dalam hari bersejarah negara membawa vaksin Covid-19. 

“Mereka sentiasa menyokong saya. Jika diberikan lagi tugasan sama, saya siap bersedia,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, seramai 40 pekerja DHL dilatih untuk membuat pengagihan vaksin Covid-19 dan antara 20 hingga 30 lori serta van didedikasikan hanya untuk pengagihan Covid-19 di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya sangat berbangga dan berbesar hati diberikan tanggungjawab besar untuk mengagihkan vaksin Covid-19 di negara ini serta sudah membuat persiapan selama enam bulan sebelum penerimaan kumpulan vaksin pertama di KLIA, Ahad lalu.

“Pengalaman di dalam bidang ini bukan satu perkara baharu untuk DHL. Kami ada satu produk dinamakan DHL Medical Express dengan pengalaman selama 20 tahun untuk membuat pengagihan vaksin, perkhidmatan penghantaran perubatan dan bahan uji kaji makmal.

“Jadi pengalaman DHL Medical Express ini memberikan semua pekerja dan fasiliti persediaan yang amat penting untuk membuat persiapan dalam pengagihan vaksin Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata, peralatan dan kelengkapan kenderaan diperlukan untuk logistik mengagihkan vaksin Covid-19 tidak banyak berbeza dengan lori atau van digunakan yang semuanya dilengkapi dengan alat pengesan lokasi kedudukan sejagat (GPS).

Apa yang penting, katanya, melatih pekerja supaya boleh mengendalikan dengan cermat kotak mengandungi vaksin Covid-19 kerana ia tidak boleh diterbalikkan.

“Kotak digunakan untuk menyimpan vaksin itu boleh menetapkan suhu diperlukan iaitu -70 darjah Selsius hingga -80 darjah Selsius dalam masa 10 hari. Jadi dalam masa 10 hari, kita sebagai syarikat penghantaran perlu membuat penghantaran ke pusat penyimpanan vaksin ditetapkan kerajaan.

“Secara keseluruhan kami berjaya melaksanakan penghantaran vaksin Covid-19 di 16 pusat penyimpanan vaksin tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, tugasan besar itu umpama hadiah sempena ulang tahun ke-48 DHL di Malaysia, hari ini, sejak bermula pada 23 Februari 1973.

“Hari ini DHL Malaysia merayakan ulang tahun ke-48. Biasanya kita buat majlis makan dengan semua pekerja, namun kekangan penularan Covid-19 menyebabkan kita akur patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. 

“Jadi perayaan ulang tahun hari ini hanya dilakukan menerusi aplikasi Zoom sahaja,” katanya. – myMetro Online

Kategori