Gavin Raih Anugerah Pemain Terbaik Jelajah Asia

JAKARTA – Pemain golf nombor satu Malaysia, Gavin Kyle Green menamatkan pencapaian menakjubkan musim ini penuh bergaya apabila dinobatkan Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017 pada Malam Anugerah jelajah berkenaan, selepas tamatnya Indonesia Masters di sini malam tadi.

Beliau meraih pengiktirafan itu melalui proses pengundian oleh rakan pesaingnya selepas mencatat musim cemerlang dengan meraih gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, selain tiga kali ​​​menduduki tempat kedua pada Terbuka India, Yeangder Heritage di Taiwan dan Terbuka Shinhan Donghae di Korea Selatan.

Pemain golf terkemuka negara itu meraih musim yang cemerlang apabila muncul pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia, sejak Jelajah Asia ditubuhkan pada 2004.

“Ini satu lagi pencapaian dalam karier saya, dan saya akan terus berusaha keras dan meraih lebih banyak kejayaan,” kata Gavin seperti dipetik dalam laman sesawang Jelajah Asia, www.asiantour.com.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain Jelajah Asia yang mengundi saya. Ini adalah kemuncak kejayaan saya musim ini dan ia satu pengiktirafan yang akan saya ingati selama bertahun-tahun akan datang,” katanya.

Lebih manis lagi, beliau juga meraih kategori pukulan paling jauh selepas mencatat purata 287 meter pukulan tee-off.

Pemain muda Amerika Syarikat (AS), Micah Lauren Shin pula menerima anugerah Pemain Muda Terbaik, manakala Terbuka Singapura SMBC dan venue kejohanan berkenaan, Kelab Golf Sentosa, masing-masing memenangi anugerah Kejohanan Golf Terbaik dan Lapangan Golf Terbaik.

Terbuka Shinhan Donghae pula menerima anugerah Penglibatan Penyokong Terbaik buat kali kedua berturut-turut sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif digital dan aktiviti disediakan kepada peminat.

Pemain AS, Paul Peterson pula meraih anugerah purata pukulan ‘stroke’ terbaik manakala pemain Vietnam, Michael Tran memenangi gelaran ‘Greens in Regulation’ terbaik. – BERNAMA

Loading...