Gani Perlu Jawab Mengapa Musa Tidak Didakwa

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail perlu menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa Tan Sri Musa Aman atas tududan rasuah seperti yang dihadapi pada masa ini.

Pemimpin DAP, Lim Lip Eng berkata, Datuk Seri Gopal Sri Ram sendiri terkejut kerana Abdul Gani tidak mengarahkan pendakwaan ke atas Musa pada 2012.

“Menjadi tanggungjawab Abdul Gani untuk menjawab dan menjelaskan isu berkenaan kepada masyarakat,” kata Lip Eng dalam kenyataan di sini hari ini dipetik Malay Mail.

Pihak pendakwaan mempunyai kes yang kukuh terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu yang berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri itu berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313), walaupun siasatan kes itu telah ditutup sebelum ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, kes itu telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) untuk beberapa waktu. – UTUSAN ONLINE

Loading...