Ganase: Pengalaman Ngeri Jadi Tebusan Di Sierra Leone

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

DI kalangan warga tentera, nama Mejar J. Ganase agak jarang disebut apatah lagi beliau bukanlah penerima anugerah berprestij seperti pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang menjadi kebanggaan setiap anggota pasukan keselamatan tanah air.

Tetapi, pengalaman getir yang ditempuhnya dua tahun lalu pernah menjadi perhatian rakyat negara ini kerana kisahnya diberikan liputan meluas oleh media tempatan.

Tambahan pula, insiden yang dialaminya adalah pertama kali menimpa tentera Malaysia yang bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ganase, 44, yang kini Ketua Bahagian Peperiksaan dan Kurikulum, Pusat Latihan Armor (Pulamor), Port Dickson pernah mengalami pengalaman ngeri apabila ditangkap dan seterusnya menjadi tebusan kepada pemberontak Barisan Revolusi Bersatu (RUF) sewaktu menjadi pemerhati tentera Misi PBB di Sierra Leone (UNAMSIL) pada bulan Mei tahun 2000.

Menceritakan semula detik-detik penahanannya oleh kumpulan pemberontak yang terkenal dengan sifat kejam mereka, Ganase berkata, ia berlaku ketika beliau baru ditukarkan dari Kenema di Bahagian Timur Sierra Leone ke Makeni (Bahagian Utara) selepas bertugas di sana selama enam bulan.

Makeni merupakan salah satu kubu terkuat RUF yang diketuai oleh Foday Sankoh yang mempunyai pengikut hampir 30,000 orang. Di negara itu juga hampir setiap hari berlaku pertempuran antara pemberontak dengan tentera kerajaan.

Insiden yang dilalui oleh Ganase bermula pada 1 Mei 2000, apabila 30 hingga 40 pemberontak mengepung Kem Demobilisasi setelah tentera PBB enggan menyerahkan 10 rakan mereka yang telah meletakkan senjata untuk dihukum oleh pemimpin RUF kerana belot terhadap perjuangan.

Sebaik menerima laporan mengenai keadaan genting itu, Ganase selaku Ketua Tim Pemerhati telah pergi bersama seorang pemerhati dari Bangladesh untuk meninjau keadaan di sana.

Di kem tersebut, beliau mendapati kepungan itu dilakukan oleh kumpulan Kolonel Augustine Gbao yang ketika itu sedang mabuk.

Berunding

Setelah memikirkan bahaya yang menanti 72 anggota Pengaman PBB dari Kenya yang berada di situ, beliau memberanikan diri berjumpa terus dengan Gbao untuk meredakan keadaan.

Bagaimanapun, usahanya menemui jalan buntu apabila Gbao engganberbincang dan tetap mahu membunuh tentera Kenya tersebut. Biarpun begitu, Ganase tidak berputus asa.

Beliau terus berunding dengan Gbao sambil berpura-pura menunjukkan rasa hormat yang lebih bagi mengambil hati Kolonel Gbao.

Ketika sedang sibuk memujuk Gbao, tanpa disangka sebuah kereta Mercedes Benz yang dinaiki oleh beberapa pemberontak telah berhenti di depan Kem Demobilisasi.

Waktu itu, seorang pemberontak mengacukan pistol ke arah kepala saya dan beberapa orang yang lain menghalakan senjata mereka ke badan saya. Mereka kemudiannya mengheret saya dengan kasar ke dalam kereta sambil memukul saya.

Kumpulan kecil pemberontak yang diketuai oleh Brigedier Jeneral Maurice Kallon itu kemudiannya melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah tentera pengaman menggunakan senjata AK-47.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Ganase sempat melaporkan situasi tersebut kepada Pegawai Bertugas Tim Makeni melalui walkie-talkie yang dibawanya.

Pada waktu yang sama, beliau ternampak Kallon memasuki kem dan terus menyerang seorang pemerhati Bangladesh. Selepas itu, Kallon mengarahkan pula anggotanya menangkap Ganase.

“Waktu itu, seorang pemberontak mengacukan pistol ke arah kepala saya dan beberapa orang yang lain menghalakan senjata mereka ke badan saya.

“Mereka kemudiannya mengheret saya dengan kasar ke dalam kereta sambil memukul saya,’’ katanya.

Apa yang mengecewakan Ganase ialah dirinya tidak diberi perlindungan oleh pasukan pengaman PBB yang berada di kem tersebut, sedangkan mereka bertanggungjawab melindungi pemerhati sepertinya yang tidak bersenjata.

“Mereka juga tidak melepaskan sebarang tembakan atau menghalang pemberontak daripada menangkap saya. Mereka hanya memerhati sahaja apa yang berlaku,’’ kata anak kelahiran Sentul ini.

Dalam kenderaan, Ganase diikat menggunakan dawai dengan tangannya berada di belakang sepanjang masa sehinggalah tiba di sebuah perkampungan kecil.

Di situ, beliau telah ditarik keluar dari kenderaan dengan kasar dan kemudiannya diminta berdiri berhampiran sebatang pokok.

Hampir Ditembak

“Apa yang terfikir oleh saya waktu itu ialah mereka akan menembak saya hingga mati.

“Masa itu wajah ibu, bapa, isteri, anak dan ahli keluarga terbayang silih berganti dengan jelas di fikiran saya,’’ katanya yang mengaku merasa begitu takut menghadapi saat cemas tersebut sambil tidak putus-putus berdoa.

Bagaimanapun beliau bernasib baik, kerana Kallon tiba-tiba mengubah fikiran dan tidak meneruskan niat untuk membunuhnya. Selepas itu, Ganase dibawa ke kem RUF di Teko Barracks, Makeni.

Di kem tersebut, didapatinya beberapa pemerhati PBB juga telah ditahan. Tidak lama selepas itu, tiga pegawai PBB yang datang untuk berunding dengan pemberontak bagi tujuan membebaskannya turut dijadikan tebusan.

Pemberontak bertindak demikian bagi memastikan pasukan pemerhati PBB di Sierra Leone mengikut segala kehendak mereka dalam usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Presiden Ahmad Tejan Kabbah.

Selepas ditahan selama dua hari, Ganase bersama 19 tebusan yang lain dibawa pula ke kem tahanan Koidu di Bahagian Timur.

Dalam perjalanan ke Koidu, trak yang membawa mereka telah terbabas menyebabkan beberapa tebusan mengalami cedera parah setelah terhumban ke dalam kolam yang dalamnya kira-kira 1.5 meter.

Seorang pemerhati, Leftenan Kolonel J.B Mendy patah kakinya setelah dihimpit oleh tayar trak. Melihat keadaan itu, Ganase yang mengalami cedera ringan telah bertindak pantas meminta beberapa rakan yang lain mengangkat trak, manakala beliau menarik pegawai tersebut.

Setelah dibawa keluar dari kolam, beliau mendapati kaki pegawai itu patah serta mengalami pendarahan yang amat teruk.

Beliau turut menyelamatkan seorang lagi pemerhati PBB yang patah bahu kirinya serta seorang pemberontak yang turut terperangkap dalam kolam itu atas sifat kemanusiaan.

Selepas berehat beberapa minit, mereka seterusnya diarah berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer menuju ke Koidu.

Tanpa menghiraukan kecederaan yang dialaminya, Ganase telah membantu memikul mereka yang cedera.

Diseksa

Tiba di kem tahanan, beliau dianggap sebagai ketua kumpulan pemerhati. Sangkaannya, pengiktirafan itu akan membolehkannya mendapat layanan yang lebih baik. Tetapi jangkaannya meleset apabila dijadikan sasaran untuk diseksa serta diancam untuk dibunuh.

“Adakalanya mereka menyeksa kami menggunakan belakang senjata. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu,’’ katanya yang masih mengingati raungan rakan-rakannya yang kesakitan ketika diseksa.

Selain dipukul tidak kira siang atau malam, mereka juga tidak diberi makanan selama beberapa hari.

Lebih menyedihkan, rakannya yang patah kaki tidak mendapat rawatan yang sempurna menyebabkan lukanya dijangkiti kuman sehingga berbau amat busuk. Beberapa hari kemudian, Ganase diserang Malaria.

Biarpun begitu, dengan semangat kental yang dimilikinya, telah membolehkannya mengharungi segala keperitan tersebut.

Selepas 18 hari ditahan, Ganase dan tiga tebusan lain kemudiannya dibawa ke pekan Kailahun, berhampiran sempadan Liberia.

Keesokannya, iaitu pada 21 Mei 2000 mereka dibawa ke Monrovia, ibu negara Liberia pula dan dibebaskan. Pada hari yang sama, beliau diterbangkan ke Freetown, ibu negara Sierra Leone bersama tebusan yang lain.

Setelah dibebaskan, Ganase tetap meneruskan tugasnya di Sierra Leone seperti biasa selama dua setengah bulan sebelum berangkat pulang ke tanah air pada 29 Jun 2000.

Tiba di tanah air, beliau telah disambut sebagai seorang wira dan diberi liputan meluas oleh media kerana sebelum itu ramai rakan dan ahli keluarga menyangkakannya telah mati selepas beliau hilang tanpa khabar berita selama 18 hari.

Apa yang pasti, peristiwa tersebut secara tidak langsung telah mempamerkan keberanian, kematangan serta kecekalan pegawai ini dalam melaksanakan tugasnya demi keamanan sejagat.

“Pengalaman tersebut juga sama sekali tidak pernah melemahkan semangat saya untuk menyumbang tenaga berkhidmat di bawah PBB pada masa akan datang jika diperlukan,’’ katanya yang berkhidmat di bawah UNAMSIL dari 26 Julai 1999 hingga 27 Julai 2000. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Loading...