Gambar Lucah Dalam Telefon, Pekerja Restoran Dipenjara

PETALING JAYA – Seorang pekerja restoran warga Myanmar dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbitnya.

FC Dailova, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 23 Sept lalu.

Tertuduh didakwa telah menyimpan gambar lucah di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah unit kondominium di Pelangi Damansara di sini, pada 12.15 tengah malam, 23 Sept 2018 mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamad Idris memohon hukuman setimpal bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia anak yatim piatu dan hidup sebatang kara. – BERNAMA

Loading...