Gaji Rendah, Kurang Mahir Punca Miskin Bandar

KUALA LUMPUR – Pendapatan isi rumah rendah, kurang kemahiran dan peningkatan migrasi penduduk dari luar bandar dan pekerja asing dilihat antara faktor kemiskinan bandar terus meningkat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata walaupun menerima gaji melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara dan pendapatan minimum, golongan ini masih lagi bergelut meneruskan kelangsungan hidup di bandar.

“Laporan Kanak-Kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 yang mengkaji 17 lokasi penempatan perumahan kos rendah mendapati sembilan daripada 10 ketua isi rumah mempunyai pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah.

“Satu dalam tiga isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, 22 peratus daripada isi rumah mempunyai tiga generasi yang tinggal bersama dan masalah nutrisi kanak-kanak,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar di sini, hari ini.

Persidangan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi IKIM Datuk Zakaria Hashim membincangkan tentang kemiskinan dan gaji kehidupan wajar dalam konteks urbanisasi, global dan Islam.

Khalid berkata antara cara mengatasi isu miskin bandar adalah menyokong kempen menggalakkan majikan membayar upah serta gaji setara dengan tugasan dan kelayakan pekerja.

“Gaji yang berpadanan, membantu masyarakat terutama penduduk bandar untuk mengimbangi tuntutan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Terdahulu, Khalid melancarkan empat buku terbitan IKIM bertajukFaraid dan Perancangan Pewarisan: Harta Beku; Bidang Kuasa dan Amalan di Malaysia; Masyarakat Menua: Realiti dan Cabaran; Rangkuman Kewangan:Perspektif Kewangan Islam dan Pemilikan Rumah:Realiti dan Cabaran. – BERNAMA

Loading...